Selangor bermula garang, dituntut kekal mantap

Kapten Selangor, Eric Pak Nga Kwok cuba melepasi halangan pemain Kedah dalam aksi Kumpulan A di Alor Setar, pada Sabtu lalu. Foto: KRM
Kapten Selangor, Eric Pak Nga Kwok cuba melepasi halangan pemain Kedah dalam aksi Kumpulan A di Alor Setar, pada Sabtu lalu. Foto: KRM
A
A
A

SKUAD ragbi Selangor memulakan kempen Piala Agong 2025 dengan kemenangan bergaya apabila menundukkan Kedah 46-3, namun pengendali pasukan, Mohammad Suhaimi Amran, menegaskan masih banyak ruang perlu diperbaiki menjelang aksi menentang Perlis di Padang Astaka, Petaling Jaya, pada Sabtu.

Suhaimi berkata, kemenangan besar itu tidak boleh dijadikan alasan untuk leka kerana keseimbangan di setiap posisi padang masih belum mencapai tahap terbaik.

“Kami sudah kenal pasti perkara positif dan negatif. Minggu ini digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki kelemahan bagi berdepan Perlis,” katanya kepada Sukan Sinar.

Menurutnya, semua aspek permainan perlu ditajamkan sama ada dari segi serangan, pertahanan mahupun disiplin ketika ‘set-piece’.

“Organisasi pertahanan boleh lebih kemas, serangan perlu lebih lancar, dan disiplin semasa ‘set-piece’ ditingkatkan,” jelasnya.

Suhaimi juga menolak untuk menamakan individu tertentu sebagai wira perlawanan kerana menyifatkan kemenangan ke atas Kedah adalah hasil usaha kolektif.

“Keputusan ini hasil sumbangan semua pemain. Setiap seorang ada peranan masing-masing,” katanya.

Dalam masa sama, Suhaimi berpuas hati dengan tahap komitmen pasukan, namun menegaskan kecergasan pemain perlu dipertingkatkan supaya dapat mengekalkan intensiti penuh sepanjang 80 minit.

Mengulas cabaran berdepan PDRM selaku juara bertahan dalam Kumpulan A, Suhaimi menegaskan fokus utama Selangor adalah memperbaiki permainan sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Kami hormati PDRM sebagai juara, tapi fokus tetap pada diri kami. Kami perlu bersedia dengan baik dan tingkatkan prestasi,” katanya.

Beliau menegaskan kemenangan besar ke atas Kedah hanyalah permulaan positif dan tidak boleh dijadikan ukuran mutlak.

“Kemenangan ini memberi keyakinan, tetapi pada masa sama ia mengingatkan kami bahawa prestasi sama penting dengan keputusan. Jika mahu pergi jauh, kami mesti terus perbaiki permainan dari minggu ke minggu,” katanya.

RAGBI PIALA AGONG 2025

(SABTU - 13 SEPTEMBER)

 

KUMPULAN A

PDRM lwn KEDAH

( Padang Pulapol Kuala Lumpur, 3 petang)

SELANGOR lwn PERLIS

(Padang Astaka, Petaling Jaya, 4:15 petang)

 

KUMPULAN B

JOHOR lwn ATM

(Stadium Ragbi Johor, Mount Austin, 3 petang)

PAHANG lwn TERENGGANU

(Padang Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Gambang, 3 petang)

 

Ringkasan AI

  • SKUAD ragbi Selangor menang besar 46-3 atas Kedah dalam Piala Agong 2025
  • Pengendali pasukan, Mohammad Suhaimi Amran, menekankan perlu ada peningkatan meskipun menang
  • Suhaimi menolak untuk menamakan wira perlawanan, menyatakan kemenangan adalah hasil usaha kolektif
  • Menyatakan kecergasan pemain perlu dipertingkatkan untuk mengekalkan intensiti sepanjang 80 minit
  • Kemenangan besar atas Kedah dianggap sebagai permulaan positif namun bukan ukuran mutlak prestasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!