Penduduk gempar penemuan mayat dalam bungkusan tersangkut tepi sungai

Hasil pemeriksaan mengesahkan bungkusan berkenaan mengandungi mayat manusia, namun identiti mangsa masih belum dapat dipastikan. Foto: IPD Ipoh
Hasil pemeriksaan mengesahkan bungkusan berkenaan mengandungi mayat manusia, namun identiti mangsa masih belum dapat dipastikan. Foto: IPD Ipoh
A
A
A

IPOH - Penduduk Kampung Kerawat, Simpang Pulai, di sini digemparkan dengan penemuan satu bungkusan berisi mayat manusia yang tersangkut pada batang pokok di tepi sungai berhampiran tanah perkuburan Orang Asli pada petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun.

Menurutnya, lelaki terbabit tampil membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung mengenai penemuan bungkusan yang mencurigakan di kawasan sungai.

"Sepasukan anggota bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mengesahkan bungkusan berkenaan mengandungi mayat manusia, namun identiti mangsa masih belum dapat dipastikan," ujarnya.

Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.

"Proses bedah siasat akan menentukan punca kematian serta sama ada terdapat sebarang unsur jenayah," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

"Beri ruang kepada kepada polis untuk menjalankan siasatan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Polis Balai Simpang Pulai, Inspektor Tai Zhe Jin di talian 019-5448601 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

 

 

Ringkasan AI

  • Penduduk Kampung Kerawat, Simpang Pulai digemparkan dengan penemuan mayat manusia tersangkut pada batang pokok di tepi sungai
  • Penemuan mayat ini dilaporkan kepada polis oleh seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun
  • Penyiasatan awal mengesahkan bungkusan tersebut mengandungi mayat manusia namun identiti mangsa masih belum dapat dipastikan
  • Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu hasil bedah siasat
  • Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada siasatan polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!