Putera Harry buat kejutan lawat Ukraine

KYIV – Putera Harry membuat lawatan mengejut ke ibu negara Ukraine selepas menerima jemputan rasmi daripada kerajaan negara itu dengan tekad untuk membantu ribuan tentera yang cedera parah dalam perang menentang Rusia sejak tiga tahun lalu.
Menerusi lawatan bersama pasukan Yayasan Invictus Games yang diasaskannya, Duke of Sussex itu berkata baginda mahu melakukan “segala yang mungkin” bagi menyokong proses pemulihan anggota tentera dan veteran yang kini menanggung kecederaan kekal.
“Kita tidak mampu hentikan perang, tetapi kita boleh bantu dalam proses pemulihan. Saya harap lawatan ini akan menyedarkan orang ramai kerana mudah untuk menjadi tidak peka terhadap penderitaan yang berlarutan,” katanya dalam satu wawancara di kereta api malam dari Poland ke Kyiv.
Setibanya di Ukraine, Putera Harry dijadual mengumumkan inisiatif baharu dalam bidang rehabilitasi sukan, selain melawat Muzium Sejarah Perang Dunia Kedua di Kyiv serta bertemu Perdana Menteri Ukraine, Yulia Svyrydenko. Baginda juga akan meluangkan masa bersama kira-kira 200 veteran perang.
Kerajaan Ukraine sebelum ini menganggarkan lebih 130,000 orang mengalami kecacatan kekal akibat perang, dan kini menjadikan pemulihan melalui sukan sebagai dasar utama dalam penjagaan veteran.
Menteri Hal Ehwal Veteran, Natalia Kalmykova berkata, kerjasama dengan Yayasan Invictus Games telah memperkukuh peranan sukan dalam strategi pemulihan.
“Terima kasih kepada hubungan ini, ribuan veteran di seluruh Ukraine kini menikmati manfaat seperti keahlian gimnasium dan akses kolam renang untuk tujuan rehabilitasi,” katanya. - Agensi
Ringkasan AI
- Putera Harry membuat lawatan mengejut ke Ukraine untuk membantu tentera cedera
- Lawatan bersama Yayasan Invictus Games itu bertujuan menyokong pemulihan anggota tentera dan veteran
- Putera Harry ingin meningkatkan kesedaran tentang penderitaan akibat perang
- Kerajaan Ukraine menjadikan pemulihan melalui sukan sebagai dasar utama penjagaan veteran
- Kerjasama dengan Yayasan Invictus Games memperkuat peranan sukan dalam strategi pemulihan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

