U Mobile, SACOFA percepat pelaksanaan 5G di Sarawak

(Dari kiri) Pengarah SACOFA, Datuk Mat Hassan Esa; Pengarah Urusan SACOFA, Datuk Sri Sulaiman Abdul Rahman B Abdul Taib; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi SACOFA, Datuk Sri Haji Julaihi Haji Narawi; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang; Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck dan Ketua Pegawai Teknologi, U Mobile, Woon Ooi Yuen
(Dari kiri) Pengarah SACOFA, Datuk Mat Hassan Esa; Pengarah Urusan SACOFA, Datuk Sri Sulaiman Abdul Rahman B Abdul Taib; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi SACOFA, Datuk Sri Haji Julaihi Haji Narawi; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang; Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck dan Ketua Pegawai Teknologi, U Mobile, Woon Ooi Yuen
A
A
A

U MOBILE memeterai kerjasama dengan SACOFA Sdn Bhd (SACOFA) penyedia infrastruktur telekomunikasi terkemuka di Sarawak sebagai rakan strategik gentian backhaul bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G serta membolehkan pengalaman ULTRA5G di seluruh negeri itu.

Di bawah perjanjian kerjasama selama 10 tahun, SACOFA akan membekalkan perkhidmatan akses talian sewaan gentian kepada tapak Rangkaian Akses Radio (RAN) yang membolehkan sambungan backhaul berkapasiti tinggi ke Titik Hubungan (POI) serantau.

Infrastruktur itu penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan 5G yang mantap dan berlatensi rendah kepada pengguna dan perusahaan di seluruh negeri Sarawak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck, pihaknya berbesar hati melantik SACOFA sebagai rakan gentian backhaul bagi pelaksanaan rangkaian 5G generasi baharu di Sarawak.

“Kerjasama ini merupakan pemacu utama dalam usaha kami menyampaikan pengalaman ULTRA5G, sekali gus memperkasa pengguna dan perniagaan di negeri ini untuk memanfaatkan teknologi terkini serta berkembang maju dalam ekonomi digital.

“Dengan memanfaatkan infrastruktur gentian menyeluruh milik SACOFA, kami akan bekerjasama bagi memastikan Sarawak menjadi antara negeri terawal menyempurnakan pelaksanaan 5G,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kolaborasi turut menyokong Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang merangka visi bagi sebuah ekosistem digital yang dinamik, inklusif dan berteraskan inovasi untuk negeri Sarawak.

Pada masa sama, kerjasama menandakan satu lagi pencapaian penting dalam misi U Mobile menyediakan liputan paling meluas dan menyeluruh di Malaysia.

Ia sekali gus mengukuhkan komitmen dalam menyokong agenda transformasi digital negeri Sarawak serta mencapai 80 peratus Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA) di seluruh negara menjelang separuh kedua tahun 2026.

Artikel Berkaitan:

Ujar Heang Tuck, dengan rangkaian gentian SACOFA yang menjangkau lebih 11,000 kilometer di seluruh negeri, U Mobile berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran liputan dan prestasi yang ditetapkan.

Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi SACOFA, Datuk Sri Haji Julaihi Haji Narawi berkata, kerjasama SACOFA dan U Mobile sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) Kerajaan Sarawak yang mengenal pasti transformasi digital sebagai salah satu daripada enam pemacu utama ekonomi.

“Strategi tersebut menekankan kepentingan memodenkan pelbagai sektor serta meningkatkan produktiviti melalui teknologi.

“Kolaborasi ini mencerminkan pelaksanaan visi tersebut dengan penggunaan 5G sebagai pemangkin kepada pertumbuhan perusahaan, inovasi perkhidmatan serta kemajuan industri," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan SACOFA, Datuk Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib mengakui, kerjasama strategik itu menandakan satu lagi pencapaian penting bagi SACOFA serta merupakan signifikan ke hadapan untuk Sarawak.

“Menerusi pelaburan dalam infrastruktur 5G dan kolaborasi dengan U Mobile, SACOFA berhasrat menyediakan sambungan yang lebih pantas dan mantap kepada perniagaan tempatan serta komuniti setempat.

“SACOFA kekal komited untuk memenuhi jangkaan dan menyokong matlamat Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 serta Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 dengan menawarkan perkhidmatan backhaul 5G yang lancar serta mantap melalui rangkaiannya,” katanya.

Ujar beliau, matlamat utama adalah memastikan kejayaan pembangunan ini demi manfaat semua pihak berkepentingan.

Ringkasan AI

  • U MOBILE dan SACOFA menjalin kerjasama untuk percepat pelaksanaan rangkaian 5G di Sarawak
  • Perjanjian selama 10 tahun, SACOFA akan memasok akses talian sewa gentian kepada U Mobile
  • Kolaborasi ini memperkukuh pelaksanaan rangkaian 5G yang berkapasiti tinggi dan berlatensi rendah di Sarawak
  • Kerjasama ini selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 untuk memajukan ekosistem digital
  • Inisiatif ini diharapkan mempercepat transformasi digital dan meningkatkan liputan 5G di Sarawak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!