AKE, Selangor FC meterai kerjasama komprehensif

GOMBAK - Al-Kauthar Eduqids (AKE) terus memperkukuh kerjasama strategik dan komprehensif dalam bidang sukan dan pendidikan menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) bersama Selangor FC.
MoU itu berlangsung dalam Majlis Menandatangani Perkongsian Strategik yang telah diadakan di AKE Resort and Training Camp (AKE Resort), di sini pada Rabu.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, selain disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut merasmikan AKE Resort.
Ketua Pegawai Eksekutif Al-Kauthar Eduqids, Datuk Dr Bakhtiar Aliff Ibrahim berkata, kerjasama berkenaan bukan sahaja membuktikan sokongan padu terhadap Red Giants, malah memperkukuh usaha pembangunan belia khususnya dalam bola sepak akar umbi.
“Sejak kerjasama bersama Selangor FC bermula pada Ogos 2023, AKE sentiasa menjadi penyokong terbesar Red Giants. Kami percaya sukan bukan sahaja menyatukan masyarakat, tetapi turut meningkatkan semangat daya saing dan pembangunan komuniti.

“Selain itu, projek AKE Little Giant bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menegaskan lagi komitmen kami untuk melahirkan generasi pemain muda yang mampu menyerlah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Mengulas mengenai fasiliti, Bakhtiar Aliff menjelaskan AKE Resort bukan sekadar destinasi percutian, sebaliknya berfungsi sebagai pusat pembangunan bakat sukan.
“Kami bangga apabila AKE Resort menjadi pangkalan pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) selama tiga bulan sebelum temasya 2024, menyediakan kemudahan latihan dan suasana terbaik untuk melahirkan atlet berdaya saing.
“Malah, pasukan futsal SUKMA turut mencipta sejarah apabila meraih pingat emas pertama sejak kejohanan itu diperkenalkan,” ujarnya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Tengku Amir Shah yang disifatkan sebagai pemacu hala tuju pembangunan bola sepak dan pendidikan di negeri itu.

“Kerjasama ini bukan sekadar menandatangani dokumen, tetapi merupakan janji untuk berganding bahu mengangkat pendidikan serta sukan di Selangor.
“Bersama Selangor FC, kami bukan hanya membentuk pemain bola sepak, tetapi juga pemimpin, inovator dan juara masa depan,” jelasnya.
Dekati belia
Sementara itu, Johan Kamal menegaskan bola sepak adalah medium penting dalam membentuk sahsiah dan ketahanan diri, selain menjadi platform melahirkan pemimpin muda.
“Bersama Al-Kauthar Eduqids, kita memandang ke depan dan berusaha melahirkan pemimpin muda di dalam dan di luar padang dengan program jangka panjang seperti Little Giants,” katanya.
Tambah Johan Kamal, Selangor FC turut berhasrat mendekati belia dengan memperluaskan inisiatif berteraskan pendidikan serta pembangunan diri.
“Kelab mahu memperluaskan program berfokuskan belia serta mewujudkan peluang yang menghubungkan antara sukan, pendidikan dan pembinaan karakter,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
