Obses dengan bomba, lelaki bakar rumah sendiri dua kali

NORTHUMBERLAND - Seorang lelaki di Britain dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku membakar rumahnya sendiri dua kali dalam satu malam semata-mata untuk melihat anggota bomba beraksi.
James Brown, 26, dari Ashington, Northumberland, digambarkan sebagai seorang yang tidak begitu taasub dengan api, tetapi lebih kepada anggota bomba itu sendiri.
Menurut laporan mahkamah, Brown telah membuat lebih 80 panggilan kecemasan kepada pihak bomba sepanjang 12 bulan sebelum insiden berlaku.
Pada malam 9 September 2023, pihak bomba bergegas ke rumah Brown selepas menerima laporan kebakaran yang dikatakan berpunca daripada percikan api di meter elektrik. Mereka berjaya memadamkan kebakaran kecil di almari kain dan turut memutuskan bekalan elektrik sebagai langkah berjaga-jaga.
Namun hanya 90 minit kemudian, Brown sekali lagi menghubungi bomba dan melaporkan kebakaran kedua di lokasi sama.
Kali ini, pihak bomba mula curiga kerana punca kebakaran dikatakan masih dari meter elektrik yang sudah diputuskan sebelum ini.
Siasatan mendapati Brown merakam kehadiran anggota bomba dengan penuh teruja, seolah-olah tidak kisah rumahnya terbakar asalkan dapat melihat mereka beraksi.
Dia akhirnya mengaku bersalah atas dua pertuduhan membakar rumah secara cuai yang boleh membahayakan nyawa.
Brown dijatuhi hukuman penjara lapan bulan yang ditangguhkan selama dua tahun, dan diwajibkan melakukan 150 jam kerja amal tanpa bayaran.
Peguamnya berkata Brown kini sedang mendapatkan rawatan untuk mengatasi obsesinya dan tidak lagi menghubungi pihak bomba sejak ditangkap. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!