Portal Informasi Islam Negeri Sembilan sebagai rujukan utama

SEREMBAN - Bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat dan sahih berkaitan hal ehwal Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah mewujudkan Portal Informasi Islam Negeri Sembilan.
Portal berkenaan diwujudkan hasil cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Agama. Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, portal tersebut berperanan sebagai platform pusat sehenti yang menghimpunkan semua maklumat dan data berkaitan hal ehwal Islam di Negeri Sembilan.
“Portal ini dibangunkan bagi memudahkan orang awam mengakses pelbagai perkhidmatan berkaitan hal ehwal Islam secara digital di bawah satu platform.
“Ia juga bertujuan mempertingkat keberkesanan penyampaian maklumat melalui saluran rasmi yang pantas dan mudah dicapai, di samping menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam urusan agama, pentadbiran serta kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Gemersik Maulud di Masjid Al Amin Taman Warisan Puteri di sini pada malam Sabtu. Majlis berkenaan dianjurkan sempena Jelajah Mahabbah Madani IKIMfm dan Agensi Agama Islam Negeri Sembilan.
Menurutnya lagi, portal itu juga menjadi ruang integrasi dan kolaborasi antara agensi-agensi Islam Negeri Sembilan demi memperkukuh penyelarasan perkhidmatan.
Tambahnya, dengan adanya portal berkenaan, masyarakat boleh mengakses pelbagai perkhidmatan seperti bayaran zakat, wakaf, hibah, wasiat, pengurusan harta, urusan perkahwinan, maklumat masjid dan surau serta sokongan bagi saudara baru.
“Portal ini turut menyediakan maklumat hukum dan fatwa, permohonan tauliah mengajar, pendaftaran tarekat serta penentuan arah kiblat.
“Selain itu, ia menawarkan perkhidmatan berkaitan perundangan syariah dan khidmat kaunseling bagi memberi bimbingan serta sokongan psikososial kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, langkah menghasilkan portal berkenaan melambangkan komitmen kerajaan negeri dan agensi agama Islam Negeri Sembilan dalam mengarusperdanakan teknologi digital bagi tujuan dakwah, pendidikan serta pengukuhan syiar Islam.
Beliau turut menyeru kepada masyarakat khususnya anak-anak muda, untuk memanfaatkan portal itu dengan jadikannya sebagai sumber rujukan utama.
“Carilah ilmu dari sumber yang benar, hayatilah ajaran Islam dengan kefahaman yang tepat dan jadilah agen penyebar kebaikan di mana sahaja kita berada,” katanya.
Terdahulu, beliau turut melancarkan portal berkenaan secara rasmi yang turut disaksikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
