Pemimpin ASEAN-GCC-China kutuk serangan terhadap orang awam di Gaza

Pemimpin-pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap orang awam di Gaza serta menyeru semua pihak terlibat agar menghentikan serangan yang menyasarkan mereka. Foto AFP
Pemimpin-pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap orang awam di Gaza serta menyeru semua pihak terlibat agar menghentikan serangan yang menyasarkan mereka. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap orang awam di Gaza serta menyeru semua pihak terlibat agar menghentikan serangan yang menyasarkan mereka.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sulung yang diadakan di sini pada Selasa, para pemimpin turut sepakat menyeru supaya satu gencatan senjata berkekalan dapat diwujudkan dengan segera.

Mereka turut menggesa agar akses tanpa halangan diberikan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan, keperluan asas dan pemulihan perkhidmatan penting di Gaza, termasuk membenarkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menjalankan kerja-kerja kemanusiaan tanpa gangguan.

"Para pemimpin menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan di Gaza dan menyokong usaha berterusan bagi membebaskan semua tebusan serta mereka yang ditahan secara sewenang-wenangnya," menurut kenyataan itu.

Mereka juga menggesa semua pihak agar berusaha ke arah penyelesaian aman terhadap konflik Palestin-Israel dengan matlamat merealisasikan penyelesaian dua negara, berasaskan sempadan sebelum tahun 1967.

Para pemimpin menyatakan komitmen menyokong usaha pakatan global bagi melaksanakan penyelesaian dua negara, dengan mengambil kira inisiatif Arab Saudi untuk bekerjasama dengan Norway dan Kesatuan Eropah ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka.

Selain itu, mereka mengiktiraf peranan penting Qatar dalam pengantaraan gencatan senjata serta memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan.

"... termasuk juga peranan aktif China dalam memudahkan pemeteraian Deklarasi Beijing mengenai Pengakhiran Perpecahan dan Memperkukuh Perpaduan Nasional Palestin oleh puak-puak Palestin pada Julai 2024 di Beijing,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!