Siasatan dakwaan kaitkan Muhyiddin dengan isu subsidi RON95 masih berjalan - SKMM

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih meneruskan siasatan berhubung dakwaan yang mengaitkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan isu pemberian subsidi RON95.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, semakan awal terhadap kandungan yang tular di platform media sosial telah dilaksanakan dengan kerjasama penyedia platform berkenaan.

“Bagaimanapun, suruhanjaya masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak TikTok bagi melengkapkan siasatan.

“Sehingga kini, hasil siasatan yang diperoleh telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk penelitian serta arahan selanjutnya,” katanya pada Selasa.

Sebelum ini, SKMM dilaporkan telah menghubungi Ahli Parlimen Pagoh untuk memberi keterangan sebagai saksi dan bukan subjek siasatan, sekali gus menjelaskan keterangan itu hanya bertujuan membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut kenyataan itu, siasatan berhubung isu berkenaan melibatkan kandungan sebuah akaun TikTok yang mengaitkan Muhyiddin dengan dakwaan subsidi bersasar RON95.

Ia selepas Muhyiddin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa beliau menyokong pemberian subsidi kepada warga asing, sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai fitnah dan pembohongan yang dilemparkan terhadapnya.

Anwar dalam sesi Pertanyaan Menteri pada awal Ogos lalu meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Tambah SKMM lagi, pihak mereka akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan dengan penuh integriti serta selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!