Batuk lima bulan rupanya Danial hidap kanser

Danial (kanan) menunjukkan bengkak kelenjar di bahagian kanan lehernya yang dialami sejak hampir dua tahun lalu kepada Zuraini.
Danial (kanan) menunjukkan bengkak kelenjar di bahagian kanan lehernya yang dialami sejak hampir dua tahun lalu kepada Zuraini.
A
A
A

ALOR SETAR – Batuk berpanjangan selama lima bulan yang disangka biasa rupa-rupanya menjadi petanda awal penyakit serius buat Muhammad Danial Arif Mohd Noor, 27, apabila dia disahkan menghidap kanser darah jenis Lymphoma Classical Hodgkin.

Pekerja stor itu pada awalnya mengalami bengkak kelenjar di bahagian kanan leher sejak hampir dua tahun lalu, namun tidak pernah merasa sakit atau mengesyaki sebarang masalah kesihatan.

“Saya tak sangka batuk yang berlarutan itu ada kaitan dengan kanser. Isteri saya, Nur Sakinah Khalib, minta saya pergi ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan.

“Selepas dua minggu, doktor sahkan saya hidap kanser darah,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Hassan, Mukim Lengkuas pada Isnin.

Danial kini perlu menjalani enam pusingan rawatan kemoterapi di HSB dan telah mengambil cuti selama lima bulan untuk menumpukan sepenuhnya kepada proses pemulihan.

Sepanjang tempoh itu, dia bergantung kepada wang simpanan kerana tidak dapat bekerja manakala isterinya yang merupakan suri rumah mula menjual rempeyek secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan harian mereka sekeluarga.

Pasangan ini mempunyai dua anak berusia empat dan enam tahun yang masih bersekolah dan kini menumpang di rumah ibu mentua.

“Saya perlu jalani pemeriksaan PET Scan di Hospital Pulau Pinang esok, tapi saya hadapi masalah kewangan. Pernah terfikir nak berhutang, tapi saya tak mahu susahkan sesiapa. Rawatan ini penting untuk kesihatan saya,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7617221489 atas nama Muhammad Danial Arif Mohd Noor.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal turut hadir memberi sokongan moral serta menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan dapur kepada keluarga Danial.

“CSM sentiasa komited membantu pesakit kanser yang memerlukan, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga sokongan emosi dan motivasi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!