Bukan beras tempatan tidak laku tapi pembekal tak hantar bekalan - Mydin

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran ketika ini bukan disebabkan makanan ruji itu tidak laku, sebaliknya berpunca daripada status penamatan subsidi yang tidak jelas.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, keadaan itu menyebabkan kebanyakan pembekal tidak lagi menghantar bekalan kerana masih menunggu perkembangan selanjutnya daripada pihak berkaitan.
Menurutnya, bekalan beras putih tempatan di Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) tiada sepenuhnya sejak beberapa hari lalu susulan tindakan pembekal berkenaan.
"Bekalan terakhir beras putih tempatan yang kita jual ialah pada 3 atau 4 September lalu kerana ia merupakan bekalan yang dihantar sebelum tarikh 31 Ogos. Selepas tarikh itu, pembekal sudah tidak menghantar lagi beras tempatan.
"Alasan yang diberikan, mereka tidak mendapat maklumat jelas mengenai pengumuman penamatan subsidi dan apakah langkah alternatif atau gantian kepada penamatan subsidi tersebut. Adakah harga diapungkan atau bagaimana.
"Jadi, disebabkan status yang tidak jelas inilah pembekal berhenti menghantar bekalan beras putih tempatan, mungkin menunggu tindakan selanjutnya daripada kerajaan kerana masing-masing tidak tahu status sebenar," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa kementeriannya sedang membuat kajian secara mendalam berhubung beras tempatan yang kurang laku di pasaran ketika ini.
Pada 30 Ogos lalu, media melaporkan bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menilai semula mekanisme baharu pembekalan beras putih susulan Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi tamat pada 31 Ogos 2025, bagi memastikan rakyat terus mendapat bekalan mencukupi pada harga berpatutan.
Menurut kenyataan KPKM, penilaian itu turut mengambil kira penyelarasan harga Beras Putih Import (BPI) pada kadar RM2,600 satu tan metrik di pintu gudang Bernas yang berkuat kuasa 15 Mei lalu, serta langkah menangani amalan pencampuran beras di pasaran.
Sementara itu, ditanya sama ada ketiadaan beras tempatan memberi kesan kepada pengguna, beliau berkata ia tidak menjejaskan bekalan kerana masih ada pilihan lain.
Menurutnya, ketika ini pengguna memilih beras import memandangkan perbezaan harga tidak terlalu ketara.
"Bekalan beras tidak putus kerana pengguna beralih kepada beras import dengan perbezaan harga sekitar RM6 sahaja. Namun, kita harapkan perkara ini dijelaskan segera oleh pihak kerajaan untuk elak sebarang kekeliruan. Jangan tunggu saat akhir baru hendak buat pengumuman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


