Tunku Azizah tidak pernah tawar bantuan di TikTok - Istana Pahang

KUANTAN - Istana Pahang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pernah menawarkan sebarang bentuk bantuan kepada orang ramai melalui platform TikTok.
Perkara itu dinyatakan menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi Kesultanan Pahang pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, penafian tersebut dibuat susulan kemunculan sebuah akaun TikTok menggunakan nama 'Datuk Muhammad Yusuf' yang didapati giat memperdaya masyarakat dengan memanipulasi wajah baginda menerusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Istana Pahang turut menegaskan bahawa perbuatan tersebut merupakan cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja.
"Orang ramai diminta agar lebih berhati-hati, bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan di media sosial," menurut kenyataan itu.
Selain itu, masyarakat juga diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima sebarang mesej mencurigakan yang menggunakan nama Tengku Ampuan Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

