Ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan dijadual semula – Menteri Agama

Ustaz Wadi Annuar
Ustaz Wadi Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan yang sebelum ini dibatalkan akan dijadualkan semula pada tarikh baharu yang lebih sesuai.

Menurutnya, beliau sendiri telah menghubungi Ustaz Wadi bagi mendapatkan pengesahan berhubung isu berkenaan.

“Alhamdulillah, Ustaz Wadi Annuar dengan berlapang dada menerima undangan dan akan memilih tarikh baharu yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.

Mohd Na’im berkata, beliau juga telah menghubungi Pengerusi dan pewakaf Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Rashid Hussain untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Ustaz Wadi, Tan Sri Rashid serta Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid atas kerjasama dan usaha memakmurkan rumah ibadah itu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terus berusaha mengimarahkan masjid sama ada melalui ceramah, pembangunan, pemeliharaan mahupun aktiviti ibadah,” ujarnya.

Mohd Na’im berkata, masjid perlu diperkasakan sebagai pusat peradaban Islam yang mampu memberdayakan umat serta mengangkat karamah insaniah.

“Semoga ALLAH menerima setiap ikhtiar kita dan menjadikan masjid serta surau sebagai tempat yang penuh barakah dan rahmat-Nya,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ceramah Ustaz Wadi Annuar yang dijadualkan berlangsung di Masjid Sri Sendayan didakwa dibatalkan pada saat akhir.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pihak penganjur menjelaskan pembatalan itu berpunca daripada isu teknikal berkaitan penyelarasan pihak masjid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!