Kerajaan bakal letak HDC di bawah Suruhanjaya Halal Malaysia

Ahmad Zahid (tujuh dari kiri) menyampaikan surat tawaran kemudahan Pembiayaan Perniagaan Mara Dananita selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Armada Utama Politeknik Bagan Datuk pada Ahad.
Ahmad Zahid (tujuh dari kiri) menyampaikan surat tawaran kemudahan Pembiayaan Perniagaan Mara Dananita selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Armada Utama Politeknik Bagan Datuk pada Ahad.
A
A
A

BAGAN DATUK - Kerajaan berhasrat meletakkan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) di bawah Suruhanjaya Halal Malaysia yang bakal ditubuhkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini HDC diletakkan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya, semua perjawatan di dalam HDC juga akan diserap ke dalam suruhanjaya berkenaan.

“Kabinet secara dasarnya telah bersetuju supaya Suruhanjaya Halal Malaysia diwujudkan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Saya berazam untuk meletakkan semua perjawatan HDC di dalam Suruhanjaya Halal Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Armada Utama Politeknik Bagan Datuk pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan HDC memberi lebih banyak peluang kepada usahawan wanita untuk terlibat dalam industri halal.

Katanya, industri halal mempunyai potensi besar bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula dengan cadangan menubuhkan Majlis Halal ASEAN serta perbincangan bersama Arab Saudi bagi mewujudkan organisasi pensijilan halal di peringkat dunia,” ujarnya.

Tegasnya, usahawan tempatan juga harus mempelbagaikan produk dan tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan serta minuman semata-mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!