PRK Cameron Highlands: Pendidikan fokus Sallehudin

Calon Bebas, Sallehudin Ab Talib, 60, mendapatkan restu ibunya, Siti Aminah Keria, 82, sebelum memulakan kempen sempena PRK Cameron Highlands, hari ini. - Foto Sinar Harian
Calon Bebas, Sallehudin Ab Talib, 60, mendapatkan restu ibunya, Siti Aminah Keria, 82, sebelum memulakan kempen sempena PRK Cameron Highlands, hari ini. - Foto Sinar Harian
A
A
A

TANAH RATA - Calon Bebas PRK Parlimen Cameron Highlands, Sallehudin Ab Talib tekad mahu memperjuangkan peluang pendidikan bagi penduduk kawasan berkenaan, terutama kepada masyarakat Orang Asli.

Sallehudin, 61, yang lebih mesra dengan panggilan ‘cikgu’, mendakwa pada masa ini masih ada dalam kalangan masyarakat berkenaan tidak ke sekolah, malah ada yang masih buta huruf.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana setiap rakyat Malaysia wajib mendapatkan pendidikan asas sehingga berumur 18 tahun sepertimana tertakluk di bawah akta pendidikan.

"Jadi perkara seperti ini, kita perlu ambil cakna. Saya akan pergi ke kawasan-kawasan Orang Asli untuk jelaskan kepada mereka tentang hak mereka ini," katanya pada sidang media semasa pra-pelancaran manifestonya di sini, hari ini.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki itu tidak menolak kemungkinan, antara penyebab kanak-kanak masyarakat itu tidak mendapat pendidikan asas secukupnya kerana adat dan ekonomi yang lemah.

Selain komuniti Orang Asli merangkumi kira-kira 20 peratus penduduk tanah tinggi itu, ramai juga dalam kalangan remaja dari penempatan Felda yang tidak melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi, dakwa Sallehudin.

Ini, dakwa beliau yang juga membesar di Felda Sungai Koyan, sebuah penempatan Felda di bawah Parlimen Cameron Highlands, merupakan antara penyumbang kepada sosioekonomi masyarakat setempat yang mendatar dan tidak meningkat.

"Justeru menjadi harapan dan manifesto saya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendidikan, seterusnya menambah baik sosioekonomi masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya dengan meneliti peluang ekonomi alternatif kepada masyarakat setempat. Ini fokus utama saya," katanya yang menggunakan slogan 'Suara rakyat untuk rakyat'.

Bergerak dengan bantuan anak muridnya dan anggota keluarga sepanjang tempoh kempen, Sallehudin berkata beliau akan mula memasang kain rentang dan logo 'buku' pilihannya untuk PRK berkenaan dalam masa terdekat.

Pada PRK berkenaan, Sallehudin akan berdepan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran, 60, yang mewakili PH, bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor, 61, (BN) dan petani Wong Seng Yee, 40, (Bebas). - Bernama