Anggota tentera parah, seorang maut dalam kemalangan

KEPALA BATAS – Seorang lelaki maut manakala dua lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Shah Bandar, Taman Bertam Perdana, di sini petang Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.22 petang itu, mangsa yang maut merupakan pemandu kereta jenis Perodua Myvi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kemalangan itu turut melibatkan sebuah Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun yang merupakan seorang anggota tentera.
"Sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam bersama bantuan BBP Kepala Batas bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, pihak bomba mendapati dua mangsa yang menaiki Perodua Myvi tersepit di bahagian hadapan, manakala pemandu Proton Iswara turut tersepit di bahagian pemandu.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) segera menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, pemandu Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala penumpang kereta itu yang merupakan seorang wanita mengalami kecederaan parah di tangan kiri.
"Tiada maklumat mengenai mangsa wanita yang merupakan penumpang Perodua Myvi tersebut. Sementara itu, anggota tentera berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki.
“Kedua-dua mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan ambulans KKM untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis bagi proses selanjutnya,” katanya.
Operasi yang turut dibantu polis dan KKM itu tamat sepenuhnya pada jam 7.48 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

