Adik maut, abang parah kereta terbabas langgar pokok

PONTIAN – Seorang lelaki maut manakala abangnya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 51, Jalan Johor Bahru–Batu Pahat berhampiran Kampung Jasa Sepakat, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa yang maut berusia 23 tahun merupakan pemandu kereta jenis Volkswagen.
Menurutnya, kemalangan pada kira-kira 6.45 petang itu turut menyebabkan abang mangsa berusia 27 tahun yang duduk pada bahagian penumpang mengalami kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dari arah Pekan Nanas ke Pontian dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebatang pokok.
“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

