Bertengkar soal cerai, isteri maut ditembak suami di India

GORAKHPUR - Seorang wanita didakwa ditembak mati oleh suaminya di sebuah pasar di daerah Uttar Pradesh ketika bertengkar mengenai prosiding perceraian mereka pada Rabu.
Menurut polis, suspek , Vishwakarma Chauhan ditangkap sejurus selepas kejadian berlaku di kawasan Shahpur.
Semasa disoal siasat, suspek memberitahu polis bahawa dia tidak menyesal membunuh isterinya kerana wanita tersebut sering menghabiskan wangnya.
Kata polis, mangsa, Mamta Chauhan, 35, yang bekerja di sebuah firma swasta dan tinggal berasingan daripada suaminya bersama anak perempuannya yang berusia 13 tahun, menuntut nafkah anak dan pemindahan tanah ladang sebelum bersetuju untuk bercerai.
Saksi berkata, berlaku pertengkaran hebat antara pasangan itu di luar sebuah studio foto sekitar jam 7:30 malam pada Rabu.
Tertuduh mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan dua das tembakan, satu mengenai dada mangsa dan satu lagi di lengannya.
Mangsa dikejarkan ke hospital yang mana doktor mengesahkan kematiannya.
Anak perempuan mereka kemudiannya membuat aduan polis menuduh bapanya melakukan gangguan dan hubungan sulit.
Mengesahkan penangkapan itu, Pegawai Bulatan (Gorakhnath) Ravi Kumar Singh berkata, prosiding perceraian pasangan tersebut masih berjalan.
"Siasatan awal menunjukkan pembunuhan itu dicetuskan oleh pertikaian kewangan. Sumber pistol itu juga sedang disiasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

