SARA capai jualan RM106.1 juta dalam lima hari

SHAH ALAM - Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada hari kelima berjalan lancar dengan jumlah jualan sebanyak RM106.1 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat jam 9.30 malam, pada Khamis.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.5 peratus selaras dengan prestasi pada Rabu.
"Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang empat hari lalu, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini.
"Secara keseluruhan sejak pelaksanaan Penghargaan SARA pada 31 Ogos 2025, lebih 6.6 juta rakyat atau 30 peratus daripada jumlah penerima telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM425.2 juta di seluruh negara," ujarnya pada Khamis.
Sebelum ini, SARA sebanyak RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menerusi MyKad akan disalurkan mulai 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, penerima boleh membelanjakan bantuan yang diberikan di 4,500 kedai terpilih di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


