Strategi RESET: Penyelesaian mampan untuk mengawal inflasi kos perubatan, kos kesihatan swasta

A
A
A

Inflasi kos perubatan, terutamanya dalam sektor kesihatan swasta di Malaysia, amat membimbangkan dengan kadar kenaikan tahunan yang jauh melebihi kadar purata global dan Asia Pasifik.

Kenaikan ini turut memberi tekanan kepada harga premium insurans, yang bukan sahaja dirasai oleh pemegang polisi dan syarikat insurans, tetapi juga penyedia perkhidmatan kesihatan.

Namun, walaupun mudah untuk menyalahkan mana-mana pihak—sama ada penyedia perkhidmatan kesihatan atau syarikat insurans—pendekatan ini hanya mengalihkan perhatian daripada isu sistemik yang lebih mendalam.

Hakikatnya, setiap pihak mempunyai peranan dalam membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan. Daripada pembuat dasar dan penyedia perkhidmatan kesihatan, hinggalah kepada syarikat insurans dan pesakit sendiri.

Tindakan kolektif amat diperlukan untuk menangani punca utama yang telah menyebabkan kenaikan pada kos penggunaan perkhidmatan perubatan dan seterusnya premium insurans/takaful perubatan dan kesihatan.

Daripada terus menuding jari, kita perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian—seperti meningkatkan ketelusan harga, mengamalkan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, dan memastikan penjagaan berkualiti kekal mampu diakses oleh semua.

Keadaan ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan strategi RESET, satu kerangka pembaharuan untuk menangani inflasi kos perubatan serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan swasta Malaysia agar lebih mudah diakses dan mampan yang digerakkan oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia serta pihak berkepentingan lain.

RESET merujuk kepada lima teras strategik iaitu menambah baik tawaran insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT); meningkatkan ketelusan harga; memperkukuh sistem kesihatan digital; memperluas pilihan rawatan yang berkesan dari segi kos dan mengubah mekanisme pembayaran penyedia perkhidmatan.

Sebanyak 11 inisiatif utama berpandukan lima teras strategik akan dilaksanakan untuk mengurangkan kadar kenaikan inflasi perubatan.

Artikel Berkaitan:

RESET juga menekankan pendekatan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, yang memberi fokus kepada hasil rawatan pesakit secara menyeluruh, mengoptimumkan perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dari segi kos, dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dari segi kos dan kualiti.

Sebagai langkah pertama dalam menambah baik tawaran produk MHIT, pembangunan produk asas MHIT telah diberikan keutamaan dan sedang dibangunkan secara kerjasama antara BNM dan KKM.

Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan insurans atau takaful yang lebih mampu milik dan mampan bagi rakyat Malaysia agar mereka dapat mengakses perkhidmatan kesihatan di hospital swasta.

Selain itu, produk asas MHIT juga bertujuan untuk mencapai tiga objektif. Pertama, memperluaskan akses kepada rakyat Malaysia melalui perlindungan insurans atau takaful yang mampu milik, mampan, bermakna dan mudah difahami. Kedua, memastikan peruntukan pembiayaan bagi penjagaan kesihatan swasta disalurkan secara lebih cekap dan berkesan, sekali gus melengkapi usaha ke arah akses sejagat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Ketiga, merangsang kemajuan ke arah hasil kesihatan berasaskan nilai.

Malangnya, apabila inisiatif ini diumumkan, terdapat kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat. Ramai yang berpendapat bahawa penggunaan Akaun Sejahtera KWSP untuk membayar produk asas MHIT ini boleh menjejaskan simpanan persaraan jangka panjang seseorang individu.

Sebenarnya, produk asas MHIT ini akan ditawarkan secara sukarela bagi rakyat yang ingin mendapatkannya untuk memudahkan akses kepada perkhidmatan hospital swasta. Pemegang polisi boleh membayar produk asas MHIT ini nanti melalui pelbagai pilihan pembayaran dengan menggunakan sumber kewangan mengikut kesesuaian masing-masing. 

Penggunaan Akaun Sejahtera KWSP untuk membayar premium produk asas MHIT hanyalah satu pilihan tambahan dan tidak diwajibkan. Pilihan yang diberikan ini selaras dengan tujuan Akaun Sejahtera (sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2 KWSP), yang membolehkan ahli KWSP membuat pengeluaran untuk memenuhi keperluan kehidupan sebelum persaraan seperti perumahan, pendidikan, kesihatan, dan perlindungan insurans atau takaful.

Produk asas MHIT bukan sahaja menyediakan perlindungan asas untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, tetapi juga bertujuan mengurangkan tekanan yang semakin meningkat ke atas sistem penjagaan kesihatan awam.

Walaubagaimanapun, sesi libat urus dengan pihak berkepentingan masih dijalankan bagi memastikan semua perspektif diambil kira dan selaras dengan prinsip kemampuan dan kemampanan jangka panjang produk asas MHIT. Konsep produk asas akan disiapkan pada hujung tahun 2025 dan diperkenalkan pada separuh kedua 2026.

Selain itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk membantu pengguna membuat keputusan yang bijak mengikut kemampuan mereka serta merancang perbelanjaan penjagaan kesihatan masa depan.

Sebagai contoh, panduan untuk memilih produk MHIT yang sesuai boleh didapati melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN). Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan pengguna menilai keperluan dan keadaan kewangan mereka dengan teliti supaya dapat memilih produk MHIT yang paling sesuai.

Bagi mendapatkan tip mengenai langkah-langkah yang perlu diambil sebelum membeli produk MHIT, sila klik pautan berikut:  https://www.fenetwork.my/medical-and-health-insurancetakaful.

RESET kawal kos perubatan, elak rakyat terbeban

Dalam pada itu, rakyat juga menyambut baik dan menyokong strategi RESET ini yang diharapkan dapat menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.

Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) yang ditubuhkan Jun lalu dilihat akan menjadi platform utama untuk membimbing dan memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah RESET.

JBMKKS diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan dan disokong oleh Majlis Perundingan, yang memberikan input serta nasihat teknikal.

Majlis tersebut dianggotai oleh wakil-wakil utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan swasta, termasuk hospital swasta, badan profesional penjagaan kesihatan, penyedia insurans dan pengendali Takaful, kumpulan advokasi pengguna, serta pihak akademik.

Usahawan, Muhammad Syazman Aziq Ruslan, 29, berkata, strategi RESET yang dilaksanakan kerajaan disifatkan langkah tepat bagi menyelaras kos rawatan perubatan swasta sekali gus mengelak pesakit terkejut dengan bil hospital yang tinggi.

“Jika dilaksanakan dengan betul, RESET mampu menjadi pemangkin utama dalam membendung inflasi kos perubatan.

Muhammad Syazman turut yakin strategi RESET bukan sekadar pelan di atas kertas, sebaliknya hala tuju jelas kerajaan dalam mengawal kos, menjaga kualiti dan memastikan semua rakyat mendapat rawatan berkualiti di sektor swasta dengan kos berpatutan.

“Ini merupakan langkah proaktif yang mampu mengubah landskap kesihatan negara untuk jangka masa panjang.

Beliau juga berharap sistem kesihatan swasta yang inklusif seperti disasarkan kerajaan dapat dilaksanakan tanpa diskriminasi terhadap golongan berpendapatan rendah, sederhana mahupun tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!