15,000 penyokong dijangka banjiri Bukit Jalil, polis perketat kawalan

KUALA LUMPUR – Seramai 15,000 penyokong dijangka hadir menyaksikan perlawanan bola sepak antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Khamis ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pintu masuk stadium akan dibuka seawal jam 5.30 petang dengan perlawanan dijadual bermula jam 9 malam.
“Polis telah membuat persiapan rapi bersama pelbagai jabatan dan unit bagi memastikan keselamatan penonton serta kelancaran perlawanan bola sepak itu.
“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan badan dan beg akan dilakukan oleh petugas di pintu masuk serta selepas memasuki stadium,” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Aidil berkata, penyokong dilarang membawa masuk barang terlarang termasuk dadah, mercun, suar, senjata, minuman keras, payung, rokok, rokok elektronik, botol air, laser, dron serta sebarang objek tajam yang boleh mengancam keselamatan.
“Orang ramai dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam, mematuhi arahan anggota polis dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar stadium.
“Mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan, rusuhan atau provokasi semasa perlawanan mahupun selepas tamat perlawanan akan diambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.
Menurutnya, sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi Hotline Polis Cheras di talian 03-92050222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga boleh mengikuti Facebook Polis Daerah Cheras dan Facebook Polis KL untuk mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
