Aerotrain KLIA kembali beroperasi 24 jam

Sistem Aerotrain di KLIA kembali beroperasi 24 jam selepas kerja-kerja penyelenggaraan berjadual yang dijalankan dari 18 hingga 31 Ogos lalu selesai.
Sistem Aerotrain di KLIA kembali beroperasi 24 jam selepas kerja-kerja penyelenggaraan berjadual yang dijalankan dari 18 hingga 31 Ogos lalu selesai.
A
A
A

SISTEM Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali beroperasi 24 jam selepas kerja-kerja penyelenggaraan berjadual yang dijalankan bermula 18 hingga 31 Ogos lalu selesai.

Malaysia Airports dalam satu kenyataan berkata, operasi penyelenggaraan berjaya disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang gangguan terhadap pergerakan penumpang.

Kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dijalankan bagi memperkemas daya tindak balas serta kebolehpercayaan sistem berdasarkan data operasi yang dikumpulkan sejak pelancaran Aerotrain pada 1 Julai 2025.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, Aerotrain merupakan nadi penting dalam operasi KLIA dan syarikat komited untuk memastikan ia sentiasa boleh dipercayai bagi keselesaan penumpang.

“Penyelesaian kerja-kerja berjadual ini mencerminkan tumpuan kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan serta memastikan pengalaman perjalanan yang lancar di lapangan terbang.

“Kami akan terus melabur dalam infrastruktur yang menawarkan kebolehpercayaan, keselamatan dan keselesaan yang lebih baik untuk semua pengembara,” katanya.

Tempoh penyelenggaraan selama dua minggu dilakukan pada waktu bukan puncak iaitu antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi setiap hari dan sepanjang tempoh berkenaan, perjalanan antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit berjalan lancar melalui penggunaan bas ulang-alik.

Menurut kontraktor Aerotrain, Alstom, pihaknya turut menjalankan ujian terhadap kemas kini perisian isyarat (signalling software) sepanjang tempoh penyelenggaraan berjadual tersebut.

“Ujian berkenaan berjaya disempurnakan sekali gus mengukuhkan keupayaan sistem untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat dan efisien," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!