Op Noda: 83 warga asing dicekup, 8 premis hiburan haram disita

83 warga Myanmar termasuk pelayan, pelanggan tanpa dokumen sah ditahan dalam Op Noda.
83 warga Myanmar termasuk pelayan, pelanggan tanpa dokumen sah ditahan dalam Op Noda.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sebanyak lapan premis hiburan dipercayai dikendalikan warga asing digempur dalam Op Noda yang dijalankan serentak di beberapa daerah bermula malam 30 Ogos hingga awal pagi 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor itu menyasarkan pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen sah serta menggaji pekerja asing tanpa permit.

“Hasil serbuan di Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri, Kulai dan Seri Alam, polis menahan seramai 83 warga Myanmar berusia antara 22 hingga 47 tahun.

“Daripada jumlah itu, sembilan bekerja sebagai penjaga premis, seorang tukang masak, 29 pelayan, manakala 44 lagi adalah pelanggan yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM5,088, pembesar suara, mikrofon, dekoder CCTV, telefon bimbit, komputer, amplifier, buku akaun perniagaan serta resit jualan.

Siasatan awal mendapati kesemua premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan, selain menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

Kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan antaranya Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 1998; Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBJB 2016; serta beberapa seksyen Akta Imigresen 1959/63.

“Polis Johor komited mempergiatkan operasi seumpama ini bagi membanteras premis hiburan yang didalangi warga asing kerana berisiko menimbulkan kebimbangan masyarakat, gejala sosial dan ancaman keselamatan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat jenayah ke Hotline Polis Johor 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!