Pasangan Jepun tular: Pemuda 23 tahun bercinta dengan nenek rakan, 83 tahun

Kisah pasangan Kofu dan Aiko cetus perbincangan hangat di media sosial Jepun. - Gambar hiasan
Kisah pasangan Kofu dan Aiko cetus perbincangan hangat di media sosial Jepun. - Gambar hiasan
A
A
A

TOKYO – Kisah cinta luar biasa di Jepun mencuri perhatian apabila seorang mahasiswa berusia 23 tahun, Kofu, menjalin hubungan dengan Aiko, 83, yang juga nenek kepada teman sekelasnya.

Hubungan pasangan dengan jarak usia 60 tahun itu mendapat restu kedua-dua keluarga dan kini hangat diperkatakan di media sosial.

Kisah mereka mula tular selepas rakaman video menunjukkan pasangan berkenaan berjalan bergandingan tangan dengan penuh kasih sayang.

Penampilan Aiko yang bergaya dengan rambut pendek, kuku terjaga dan suara lembut turut membuatkan ramai menganggapnya kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar.

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), tarikh ulang tahun percintaan mereka pada Hari Valentine lalu menandakan lebih enam bulan hubungan istimewa itu.

Pertemuan Kofu dan Aiko bermula ketika mahasiswa berkenaan sering mengunjungi rumah rakan sekelasnya yang merupakan cucu kepada Aiko.

Dari situlah perasaan berbeza mula timbul sehingga membawa kepada cinta pandang pertama.

Meskipun pada awalnya ragu kerana perbezaan usia yang terlalu jauh, hubungan mereka berputik selepas satu perjalanan ke Disneyland.

Pada ketika itu, hanya mereka berdua hadir selepas cucu Aiko membatalkan rancangan.

Artikel Berkaitan:

Di hadapan Istana Cinderella, Kofu akhirnya meluahkan cintanya dan kini, pasangan itu difahamkan tinggal bersama, meskipun tidak dinyatakan di rumah siapa.

Walaupun belum membincangkan soal perkahwinan, Kofu menyifatkan kebahagiaan terbesarnya adalah saat dapat melihat wajah kekasihnya setiap kali bangun tidur.

“Dia kecil dan selalu menatap saya. Kadang-kadang bersandar pada saya, sukar untuk menolaknya,” katanya.

Aiko pula mengakui kehidupannya kini lebih bersemangat.

“Saya gembira dapat memasak untuknya, walaupun rasa kesepian apabila dia keluar bekerja. Tapi menjaga Kofu membuat saya bertenaga,” ujarnya.

Pada Jun lalu, seorang usahawan e-dagang dari tenggara China turut mencetuskan perhatian apabila berkahwin dengan teman sekelas anaknya dari Rusia, dengan perbezaan usia lebih 20 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!