Pelajar ditipu penjual topeng muka di Facebook

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pelajar universiti kerugian RM780 selepas terpedaya dengan sindiket penjualan topeng muka yang tidak wujud di laman Facebook semalam.

Mangsa berusia 23 tahun itu dikatakan terpengaruh dengan iklan menjual topeng muka yang ditawarkan di Facebook.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa telah membuat pesanan 30 kotak yang mengandungi 1,500 keping topeng muka daripada suspek.

Menurutnya, mangsa kemudiannya membuat satu transaksi pindahan wang berjumlah RM780 ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.

"Selepas membuat pembayaran, suspek memberitahu topeng muka itu akan dihantar dalam tempoh tiga hari namun mangsa curiga selepas membaca beberapa komen pembeli lain yang mendakwa topeng muka yang dibeli tidak diterima selain penjual berkenaan gagal dihubungi.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan hasil siasatan awal mendapati sindiket ini didalangi oleh warga tempatan yang mengambil kesempatan atas keperluan orang ramai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sebanyak tiga kes seperti ini telah dibuka yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM8,890.

"Orang awam agar sentiasa berwaspada dan pembeli boleh membuat semakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/," katanya.

Artikel Berkaitan: