Misi Flotila Sumud Global bermula

BARCELONA - Flotila Sumud Global (GSF) yang membawa bekalan kemanusiaan untuk penduduk Gaza akhirnya berlepas semula dari Barcelona pada Isnin, beberapa jam selepas ia berpatah balik ke pelabuhan di bandar Sepanyol tersebut kerana cuaca buruk.
Menerusi kenyataan di platform X pada Ahad, jurucakap misi untuk memecahkan kepungan haram Israel itu memaklumkan tiupan angin kencang berkelajuan kira-kira 55.6 kilometer sejam di Laut Mediterranean dikhuatiri memberi risiko kepada kapal lebih kecil yang menyertai konvoi berkenaan.
Ia sepatutnya dijadualkan bertemu konvoi kedua di Tunisia pada Khamis lalu, namun pelan asal tersebut mengalami sedikit kelewatan.
Penganjur memaklumkan GSF merupakan misi maritim terbesar ke Gaza disertai lebih 50 buah kapal dan delegasi dari kira-kira 44 negara.
Ia dianjurkan empat gabungan utama yang mengambil bahagian dalam misi bantuan ke Gaza; Gerakan Global ke Gaza, Freedom Flotilla Coalition, Maghreb Sumud Flotila dan Sumud Nusantara.
Antara individu terkenal yang menyertainya ialah aktivis iklim, Greta Thunberg, bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau Ballano, aktor Ireland, Liam Cunningham dan pelakon dari Sepanyol, Eduard Fernandez.
Sementara itu, Sekretariat Sumud Nusantara mengumumkan seramai 15 wakil dari Malaysia pimpinan Cinta Gaza Malaysia, Mapim Malaysia dan Cinta Salam Malaysia bersama rakan NGO mereka menyertai misi GSF bagi menggesa pembukaan laluan bantuan kemanusiaan dan penamatan segera serangan ganas ke atas wilayah tersebut. - Agensi
Info:
>Ia merupakan flotila bantuan ketiga ke Gaza yang cuba memecahkan kepungan haram maritim Israel.
>Misi sebelum ini gagal kerana dipintas bot tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
>Sukarelawan terlibat termasuk dari Malaysia, Australia, Brazil, Colombia, Afrika Selatan dan sejumlah negara Eropah. Peserta pula tidak mempunyai kaitan dengan pemerintah atau parti politik.
>GSF menyatukan gabungan dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat untuk menggunakan flotila sebagai simbol solidariti dengan penduduk Gaza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

