'Ini bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini' - Isteri Faisal Halim

ISTERI kepada pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril tampil bersuara mengenai kemelut rumah tangganya sekali gus mengesahkan berita bahawa dia telah memfailkan permohonan cerai hari ini.
Nur Syazwani memuat naik satu hantaran di laman Instagramnya menjelaskan mengenai tindakannya memfailkan permohonan cerai tersebut.
“Tindakan saya hari ini berdasarkan apa yang saya lalui dan kehidupan saya sendiri. Saya yang lebih tahu tentang kehidupan saya.
"Saya telah berkorban seluruh jiwa saya untuk keluarga, dari susah sehingga berjaya, daripada tidak dikenali kepada seorang yang dipuja, daripada sakit sehingga sihat dan kembali ke tahap terbaik. Ia bukan sesuatu yang mudah buat saya,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama berdepan dengan penceraian dan mengakui telah berusaha mempertahankan rumah tangga, namun terlalu banyak campur tangan.
"Malah ini bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini. Saya cuba pertahankan tapi terlalu banyak campurtangan dan onak dalam kehidupan saya.
"Tindakan saya hari ini bukan satu keputusan yang senang dibuat. Saya telah berusaha, namun mungkin ini jalan yang terbaik. Ibu saya disuruh untuk mengambil saya, saya telah dipulangkan kepada ibu saya. Walaupun berat hati, saya ikutkan kehendak dia," katanya.
Sebelum ini, laporan menyebut Nur Syazwani Mizuana telah memfailkan permohonan cerai dan sebutan kes berlaku di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor di hadapan Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim.
Nur Syazwani mendirikan rumah tangga bersama Faisal pada 9 Mac 2019 dan mempunyai seorang cahaya mata bernama Khalish Aryan.
Faisal sebelum ini pernah mendapat perhatian negara apabila mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
