Isteri Faisal Halim fail cerai, wujud lafaz luar mahkamah - Peguam

Peguam mengesahkan isteri kepada pemain bola sepak, Faisal Halim memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada Selasa.
Peguam mengesahkan isteri kepada pemain bola sepak, Faisal Halim memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa.

Faisal yang sebelum ini cedera dalam insiden simbahan asid tahun lalu, hadir ke mahkamah bersama peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.

Puteri Ummi Kartini mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, anak guamnya baru sahaja mengetahui mengenai permohonan cerai tersebut selepas dimaklumkan oleh peguam syarie yang mewakili isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril.

"Isteri Faisal memfailkan permohonan berkenaan di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, iaitu perceraian secara baik.

"Bagaimanapun, disebabkan terdapat satu lafaz cerai yang dibuat di luar mahkamah sebelum ini, kami telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa lafaz cerai pertama itu perlu diselesaikan terlebih dahulu di bawah Seksyen 57 enakmen yang sama," katanya.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula permohonan berkenaan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim.

Untuk makluman, Faisal yang juga dikenali sebagai 'Mickey' berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Terdahulu, Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid di sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara pada 5 Mei tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 Mei lalu, peguam kepada Faisal mengesahkan kes serangan asid membabitkan pemain tersebut telah diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (NFA).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!