Nestle pecat ketua eksekutif kerana hubungan romantik dengan kakitangan

VEVEY - Gergasi makanan global Nestlé telah memecat Ketua Eksekutifnya, Laurent Freixe, selepas siasatan dalaman mendedahkan beliau menjalinkan hubungan romantik yang tidak didedahkan dengan seorang kakitangan bawahan, melanggar kod etika syarikat.
Dalam kenyataan rasmi, Pengerusi Nestlé, Paul Bulcke, menyifatkan keputusan itu sebagai “perlu dan selaras dengan nilai serta tadbir urus syarikat.”
Siasatan dijalankan oleh lembaga pengarah bersama pengarah bebas utama, selepas laporan diterima melalui saluran aduan dalaman Nestlé.
Freixe, yang telah berkhidmat hampir 40 tahun di Nestlé dan dilantik sebagai CEO pada September 2024, digantikan serta-merta oleh Philipp Navratil, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Nespresso dan veteran syarikat sejak 2001.
Nestlé menegaskan bahawa strategi korporat tidak akan berubah susulan pertukaran kepimpinan, dan prestasi syarikat akan terus dipacu di bawah pengurusan baharu.
Navratil menyatakan komitmennya untuk meneruskan hala tuju strategik dan pelan tindakan yang telah dirangka.
Insiden ini mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai etika korporat dan keperluan ketelusan dalam hubungan profesional, terutama dalam organisasi multinasional yang beroperasi di bawah piawaian tadbir urus yang ketat.- Agensi/ Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
