'Kemanisan' berganda 31 Ogos tahun ini

Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya meriah dengan lebih 100,000 pengunjung, pada masa sama, rakyat menerima ‘kemanisan berganda’ melalui program SARA RM100 yang diumumkan Perdana Menteri. Gambar hiasan
Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya meriah dengan lebih 100,000 pengunjung, pada masa sama, rakyat menerima ‘kemanisan berganda’ melalui program SARA RM100 yang diumumkan Perdana Menteri. Gambar hiasan
A
A
A

TANGGAL 31 Ogos sememangnya memberi pengertian yang cukup besar dan amat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia saban tahun kerana tarikh keramat pada tahun 1957 itulah tanah air tercinta mengecapi kemerdekaan.

Seperti beberapa tahun kebelakangan ini, Dataran Putrajaya menjadi lokasi utama atau kemuncak sambutan Hari Kebangsaan akan dipenuhi dengan ribuan rakyat yang tidak mahu terlepas menyaksikan sendiri perbarisan dan persembahan penuh bermakna.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dianggarkan lebih 100,000 rakyat Malaysia membanjiri sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di pusat pentadbiran kerajaan itu pada Ahad bagi menyaksikan sendiri pelbagai acara menarik melalui penglibatan seramai 14,062 peserta bagi keseluruhan acara.

Lebih mengujakan lagi, ribuan pengunjung sudah mula ‘berkampung’ dan memasang khemah seawal tujuh petang Sabtu semata-mata ingin menyaksikan persembahan menarik.

Bukan itu sahaja, ada yang kekal tidak berganjak dari tempat masing-masing kerana tidak mahu terlepas hot seat di sekitar Dataran Putrajaya, terutamanya kawasan berhampiran pentas utama.

Di sebalik kemeriahan sambutan kemerdekaan, tanggal 31 Ogos tahun ini turut memberi 'kemanisan' berganda buat warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas apabila mendapat ‘bonus’ dengan pemberian RM100 secara sekali beri melalui Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang boleh ditebus mulai hari sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu mengumumkan pemberian tersebut melalui MyKad untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

Beliau berkata, pemberian itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup selain sebagai penghargaan kepada rakyat, yang memberikan manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

Tinjauan di beberapa negeri turut mendapati, rakyat tidak melepaskan peluang untuk menebus bantuan berkenaan pada hari pertama hingga menyaksikan berlaku gangguan kepada sistem.

Artikel Berkaitan:

Keadaan ini mungkin berlaku apabila orang ramai memilih untuk memanfaatkan peluang selepas selesai menyaksikan persembahan dan acara pada sambutan hari kemerdekaan bagi membeli barangan keperluan melalui penebusan bantuan tersebut.

Situasi ini juga turut menggambarkan rakyat begitu menantikan peluang untuk menebus bantuan yang diumumkan sendiri Perdana Menteri itu.

Sebagai makluman juga, bantuan berkenaan sah dan boleh ditebus sehingga 31 Disember tahun ini, maka jika tidak berpeluang berbelanja hari ini masih ada hari lain untuk berbuat demikian.

Ibarat kata, selepas penat berpanas, hati kembali tersenyum apabila perbelanjaan keluarga dapat diringankan dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan itu.

Bagi sesetengah mereka khususnya golongan pendapatan tinggi, bantuan itu mungkin tidak seberapa, namun berbeza bagi mereka yang berhempas pulas mencari rezeki ia pasti memberi makna cukup besar.

Justeru, manfaatkan sebaiknya bantuan tersebut untuk memastikan bekalan penting untuk keluarga mencukupi, walaupun mungkin tidak semua barangan boleh dibeli asalkan makanan asas ada di rumah.

Bagi yang belum berkesempatan untuk berbelanja terutama bagi rakyat yang kali pertama mendapat bantuan itu, manfaatkan peluang masih ada untuk melihat jenis barangan dan kedai menyediakan perkhidmatan berkenaan bagi memudahkan urusan masing-masing.

Berbalik kepada sambutan Hari Kebangsaan, rasa cinta dan sayang kepada negara bukan harus ditonjol pada tarikh penuh bermakna ini semata-mata tetapi ia perlu kekal serta subur sepanjang masa.

Hargailah keamanan dan kemakmuran dinikmati hari ini hasil pejuang terdahulu dan sama-samalah memperkukuhkan tekad untuk menjaga kedaulatan dan keharmonian yang dimiliki Malaysia tercinta ini.

*Nurul Huda Husain ialah wartawan Meja Nasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!