Pearly-Thinaah tekad bangkit lebih kuat

BEREGU wanita negara, Pearly Tan - M Thinaah enggan terlalu kecewa selepas terlepas gelaran dunia, sebaliknya menjadikan pengalaman berharga di Paris, Perancis itu sebagai pemangkin untuk bangkit lebih kuat pada kejohanan akan datang.
Menurut Thinaah, pencapaian muncul naib juara di pentas berprestij berkenaan telah meningkatkan keyakinan mereka bahawa mampu bersaing dengan gandingan elit dunia.
“Ini adalah kejohanan terbesar selepas Olimpik. Walaupun sedikit terkilan, kami tetap bangga kerana tidak menyangka mampu mara sehingga ke final.
“Keputusan ini memberi motivasi besar untuk kami tampil lebih baik selepas ini,” katanya.
Pasangan nombor dua dunia itu terpaksa akur di Arena Adidas apabila tunduk kepada beregu utama China, Liu Sheng Shu - Tan Ning, dalam pertarungan epik tiga set 14-21, 22-20, 17-21 yang berlangsung selama 83 minit.
Pearly menjelaskan strategi mengubah corak servis pada set kedua menjadi kunci kebangkitan mereka selepas ketinggalan 12-14, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
“Thinaah banyak melakukan servis kuis ke belakang dan ia benar-benar mengganggu rentak lawan.
“Mereka mula bermain tergesa-gesa, manakala kami saling mengingatkan untuk kekal tenang. Strategi itu menjadi pada set kedua,” jelasnya.
Permainan kian mendebarkan pada set ketiga dengan beberapa aksi merebahkan badan untuk menyelamatkan mata yang menjadi bukti komitmen tinggi biarpun Pearly–Thinaah akhirnya tewas tipis.
“Kami tidak mahu memberikan mata mudah dan berjuang untuk setiap mata selagi bulu tangkis tidak menyentuh gelanggang,” kata Pearly.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
