Pelantikan bukan kerana politik: YPJ

Gambar yang tular berkaitan perlantikan Ahli Lembaga Pengarah YPJ di media sosial.
Gambar yang tular berkaitan perlantikan Ahli Lembaga Pengarah YPJ di media sosial.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tular di media sosial tentang pelantikan dua Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang dikatakan berdasarkan kedudukan dalam politik.

Bagaimanapun, Bahagian Komunikasi Korporat dan Strategik YPJ dalam kenyataan rasminya menjelaskan bahawa pelantikan kedua-dua Ahli Lembaga Pengarah itu dibuat berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman dalam bidang pendidikan dan korporat.

Menurutnya, kedudukan politik tidak pernah dijadikan merit dalam pemilihan Ahli Lembaga Pengarah YPJ.

"Haji Zais Mohd Akil merupakan mantan Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar di Kementerian Pelajaran Malaysia dari 2005 hingga 2008 dan juga merupakan bekas Pengetua di Maktab Sultan Abu Bakar.

"Beliau juga pernah bertugas di Jabatan Pelajaran Johor sebagai Ketua Penolong Pengarah selama 19 tahun.

"Manakala, Haji Karmaine Sardini pula merupakan bekas guru di Sekolah Menengah Teluk Kerang, Pontian sebelum meneruskan pelajaran dalam bidang seni bina.

"Beliau pernah berkhidmat sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dari 1980 hingga 2000," katanya.

YPJ memberitahu, pihaknya merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab membantu pembangunan pendidikan dan modal insan kepada warga Johor di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada pembangunan pendidikan, pihak YPJ juga memfokuskan kepada sektor peladangan, hartanah dan pembinaan melalui anak-anak syarikat YPJ seperti YPJ Holdings, YPJ Builders, YPJ Multi-Ventures dan YPJ Plantations.

"Pelantikan Haji Zais dan Haji Karmaine dibuat dengan keyakinan bahawa kedua-dua individu tersebut mampu membantu YPJ dalam meneruskan misi membangunkan pendidikan dengan berbekalkan pengalaman luas dalam bidang masing-masing," katanya.

Terdahulu, dalam gambar yang tular itu merujuk kepada Ketua Bahagian Bersatu iaitu Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Zais serta Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah YPJ.

Malah, isu itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menulis perkara tersebut dalam twitter miliknya hari ini.

Beliau meminta supaya perbuatan itu tidak dilakukan secara terbuka dan jelas.

Menurutnya, parti itu tidak segan untuk membuat lantikan sebegitu.