Dipanggil bincang hal kahwin, pemuda maut dibelasah keluarga kekasih

MUMBAI – Hasrat seorang pemuda untuk berkahwin dengan wanita pilihannya tidak kesampaian apabila maut dibelasah oleh keluarga kekasihnya itu.
Mangsa, Rameshwar Ghengat, 26, dilaporkan dipanggil keluarga kekasihnya kononnya untuk berbincang mengenai cadangan majlis perkahwinan.
Kejadian berlaku pada 22 Julai lalu di kawasan Sangvi, Pimpri Chinchwad, berdekatan Pune di sini selepas pertemuan dua keluarga berkenaan bertukar menjadi pertengkaran yang berakhir dengan insiden berdarah.
Setakat ini, sembilan individu termasuk bapa wanita terbabit, Prashant Sarsar telah ditahan manakala dua lagi masih diburu pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.
Inspektor Kanan Polis Sangvi, Jitendra Koli berkata, satu kes telah didaftarkan terhadap 11 suspek kerana disyaki memukul hingga menyebabkan kematian mangsa.

Siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku disebabkan keluarga wanita terbabit menentang keras hubungan dengan Rameshwar kerana lelaki itu pernah merogolnya selain turut menjadi suspek bagi kes di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak berkait Kesalahan Seksual (POCSO).
Namun, pasangan tersebut tetap berkeras mahu berkahwin mengakibatkan keluarga wanita berpura-pura bersetuju untuk berbincang tetapi sebaliknya merancang perangkap yang membawa kepada tragedi.
Polis berkata, mangsa hadir ke rumah keluarga wanita itu bersama ibu bapanya, namun berlaku ketegangan ketika perbincangan hingga bapa kekasihnya bersama beberapa individu lain mengheret mangsa ke sebuah bilik lalu membelasahnya.
Akibat kecederaan parah yang dialami, Rameshwar yang dikejarkan ke sebuah hospital swasta dilaporkan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

