Pahang umum bantuan khas RM2 juta

Wan Rosdy pada sidang media khas Menteri Besar di Wisma Pahang hari ini.
Wan Rosdy pada sidang media khas Menteri Besar di Wisma Pahang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan peruntukan berjumlah RM2 juta sebagai bantuan khas kepada rakyat negeri itu yang terjejas sumber pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan sasar yang akan menerima bantuan khas itu akan ditentukan kemudian termasuk kaedah agihan.

"Kerajaan negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am Bulanan (Peruntukan Kerajaan Negeri) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melibatkan seramai 2,895 penerima.

"Ini bermakna Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) untuk bulan April akan dipercepatkan pembayarannya pada 27 Mac ini," katanya pada sidang akhbar khas Menteri Besar di Wisma Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, selain itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) memberi kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis PKNP, manakala Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang menerima elaun penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain itu katanya, bagi menzahirkan keprihatinan terhadap situasi yang dihadapi negara kini, kerajaan negeri menyarankan orang ramai dan syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini supaya membuat sumbangan untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Menurutnya, mekanisme sumbangan akan ditentukan oleh Pejabat Kewangan Negeri dengan harapan mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau memaklumkan pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar di Maran bersetuju dengan pandangan kerajaan negeri agar upacara tahunan penyembahan dan penyucian jiwa atau ‘Al Pangguni Alaayam’ yang dijadualkan berlangsung di kuil itu pada 6 dan 7 April ini ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar atas keprihatinan dan persetujuan mereka dengan penangguhan itu.

"Terdapat beberapa lagi langkah dan inisiatif yang akan diperkenalkan bagi menangani wabak Covid-19 dan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat yang akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya.