152 jentera pacuan empat roda sertai saingan lasak Merdeka 4x4 Challenge

KUALA NERUS - Sambutan bulan kemerdekaan tahun ini diraikan dengan penuh warna apabila Merdeka 4x4 Challenge 2025 edisi kelima mencatat sejarah tersendiri dengan penyertaan terbesar melibatkan 152 jentera pacuan empat roda serta buat julung kali memperkenalkan kategori wanita.
Pertandingan selama tiga hari bermula Khamis di Bandar Baru Kuala Nerus itu menghimpunkan 304 peserta dari seluruh negara, sekali gus menjadikannya acara sukan lasak terbesar di Pantai Timur sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-68.
Pengarah pertandingan, Muhammad Muzzammil Mokhetar berkata, pengenalan kategori wanita menjadi bukti semangat Merdeka yang menekankan kebebasan dan keterbukaan, apabila golongan wanita kini mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam sukan ekstrem.
“Seramai 10 peserta wanita sudah mengesahkan penyertaan. Walaupun jumlahnya tidak besar, ia adalah perkembangan positif kerana mereka kini ada pentas sendiri untuk memburu kejuaraan.
“Semangat Merdeka yang kita raikan inilah sebenarnya memberi ruang kepada semua tanpa mengira jantina atau latar belakang untuk mencuba, bersaing dan berjaya,” katanya pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah Pelancongan Malaysia (Bahagian Pantai Timur), Mohd Azizul Arif Yahya berkata, penyertaan dari seluruh negara bermula Perlis hingga Johor mencerminkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.
“Acara ini bukan sahaja mencipta penanda aras baharu sukan lasak, malah menjadi simbol penyatuan rakyat berbilang kaum dan latar belakang.
“Inilah roh Merdeka yang kita mahu pupuk melalui sukan dan pelancongan,” katanya.
Turut menjadi perhatian ialah penyertaan peserta orang kurang upaya (OKU) dari Negeri Sembilan, Mohd Yusof Abdul Hamid, yang tetap bersemangat turun ke gelanggang walaupun mengalami lumpuh dan pergerakannya terbatas.
Acara anjuran Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4x4) dengan kerjasama Kelab Terjoh! 4x4 Kuala Terengganu itu turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kerajaan negeri Terengganu, Pejabat Daerah Kuala Nerus serta Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Pertandingan mempertaruhkan dua kategori utama iaitu Long Wheel Base dan Short Wheel Base dalam misi memburu gelaran juara, sekali gus menjadikan sambutan Merdeka kali ini lebih bermakna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
