Rusuhan Indonesia: Protes bertukar ganas, bangunan depan markas komando terbakar

JAKARTA - Sebuah bangunan yang terletak di hadapan Markas Komando (Mako) Brimob Kwitang di sini terbakar dalam insiden rusuhan yang tercetus semasa demonstrasi besar-besaran petang Jumaat.
Menurut laporan media tempatan, api mula marak sekitar jam 4.20 petang waktu Indonesia Barat, selepas peserta demonstrasi bertindak merempuh bangunan tersebut susulan tembakan gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan.
Asap hitam tebal kelihatan dari tingkat dua bangunan, menyebabkan panik dalam kalangan orang awam dan peserta protes.
Seorang lelaki dilaporkan terperangkap di tingkat atas bangunan sebelum berjaya diselamatkan anggota TNI dan penunjuk perasaan.
Tindakan pantas pasukan pemadam kebakaran berjaya mengawal api pada jam jam 4.43 petang, namun punca kebakaran masih belum dikenal pasti.
Sebelum kejadian, sebuah kenderaan jenis hatchback turut terbakar di lokasi berhampiran, dipercayai akibat lontaran objek keras dan bahan mudah terbakar oleh peserta demonstrasi.
Insiden berlaku di tengah ketegangan susulan kematian Affan Kurniawan, penunggang ojek dalam talian yang dilanggar kenderaan Brimob semasa demonstrasi di Jakarta awal minggu ini.
Protes yang bermula secara aman kini merebak ke beberapa bandar besar dan bertukar ganas, dengan tuntutan keadilan dan reformasi institusi keselamatan menjadi teras gerakan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
