JDT tak bagi muka kepada Imigresen

PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak sempurna dalam kempen Liga Super 2025/26 apabila menewaskan Imigresen FC, 3-0 di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, pada Khamis.
Skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Muñoz bermula garang dengan hampir membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi Jon Irazabal, namun sedikit tersasar.
Asakan bertali arus terus memaksa benteng The Mighty Tigers di bawah bimbingan Yusri Che Lah bekerja keras mengekang deretan percubaan berbahaya JDT.

Gol yang dinanti akhirnya hadir pada minit ke-43 apabila Irazabal menyudahkan sentuhan Arif Aiman Hanapi bagi memastikan JDT mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Harimau Selatan menggandakan tekanan sebelum Jairo Da Silva meledak gol kedua pada minit ke-58.
Semangat menyerang JDT semakin membara dan giliran Jao Figueiredo melengkapkan pesta tiga gol pada minit ke-77 untuk memastikan tiga mata penuh milik juara bertahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
