Pesakit mental lari dari Hospital Bahagia maut dirempuh komuter

Seorang lelaki maut dipercayai dilanggar tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kejadian di Kilometer 156 berhampiran sebuah kuil di Chemor pada Isnin.
Seorang lelaki maut dipercayai dilanggar tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kejadian di Kilometer 156 berhampiran sebuah kuil di Chemor pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Polis mengesahkan lelaki yang maut akibat dirempuh tren komuter di Kilometer 156, berhampiran sebuah kuil di Chemor, Isnin lalu merupakan pesakit mental.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, identiti mangsa yang berusia lingkungan 40-an itu dikenal pasti melalui pengecaman yang dilakukan oleh waris.

Menurut beliau, mangsa didapati melarikan diri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan di sini.

"Bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan pelbagai.

"Pemeriksaan mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya di sini pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan kejadian yang berlaku sekitar jam 6 pagi itu terjadi ketika tren komuter berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke utara.

Pemandu tren terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian hadapan, bagaimanapun, beliau tidak dapat mengenal pasti objek yang terlibat disebabkan keadaan sekeliling yang gelap dan berkabus.

Pemeriksaan oleh Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama pasukan Patologi HRPB menemui serpihan anggota badan manusia bersama barangan peribadi yang dipercayai milik mangsa.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!