IFC gandakan usaha lebih 100 peratus hadapi JDT – Yusri

Yusri mahu anak buahnya memberikan tumpuan melebihi 100 peratus apabila melayan kunjungan JDT di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada Khamis. FOTO: IFC
Yusri mahu anak buahnya memberikan tumpuan melebihi 100 peratus apabila melayan kunjungan JDT di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada Khamis. FOTO: IFC
A
A
A

Imigresen FC (IFC) mahu menggandakan usaha melebihi 100 peratus bagi menghadapi cabaran getir menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada petang Khamis.

Pengendalinya, Yusri Che Lah mengakui Mighty Tigers sedar akan keampuhan skuad Harimau Selatan yang telah menjuarai Liga Super sebanyak 11 kali berturut-turut namun kelabnya tetap bertekad untuk memberikan saingan terbaik dengan kekuatan yang ada.

“Apabila kita sudah melihat empat perlawanan JDT sebelum ini, kita tahu mereka akan memenangi setiap perlawanan. Kami mahu beri saingan terbaik dengan apa yang kami ada kini.

“Untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik, kami perlu gandakan usaha bukan hanya 100 peratus tapi melebihi apa yang kami ada,” katanya selepas sesi latihan di Padang A Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Selasa.

IFC turut memperkukuh skuad dengan kemasukan tiga pemain import baharu menjadikan jumlah keseluruhan lapan pemain import setakat ini.

Langkah itu diambil susulan penggantungan tonggak pertahanan, Amirali Chegini yang menerima kad merah ketika menentang Kelantan pada 12 Ogos lalu.

Yusri berkata, strategi utama pasukannya adalah memperkukuh benteng dan ruang tengah bagi menyekat gerakan berbahaya JDT khususnya daripada trio serangan mereka iaitu Joao Figueiredo, Jairo Da Silva dan kapten pasukan, Samuel Castillejo Azuaga.

“Perancangan kami adalah meletakkan gandingan yang mampu menyekat dan menutup segenap ruang ancaman terutama daripada gerakan tiga serangkai milik JDT kerana jika diberi peluang, mereka akan terjemahkan dengan jaringan,” ujarnya.

Tambah beliau, kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC dalam Pusingan 16 Piala FA pada 18 Ogos lalu menjadi pembakar semangat buat pemain IFC untuk terus berjuang dan memburu keputusan positif di laman sendiri.

Artikel Berkaitan:

Perlawanan menentang JDT dijangka menjadi ujian sebenar buat IFC dalam usaha mereka menempatkan diri sebagai pencabar baharu dalam kancah Liga Super musim ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!