Ibu bapa fokus kualiti pendidikan berbanding sentimen kaum

SHAH ALAM – Perdebatan mengenai sekolah vernakular yang sering dikaitkan dengan isu perpaduan kaum wajar dilihat semula kerana hakikatnya ibu bapa hari ini lebih mementingkan kualiti pendidikan berbanding sentimen kaum.
Peguam dan pemerhati politik, Tai Zee How berkata, pilihan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah jenis kebangsaan, antarabangsa atau swasta adalah didorong faktor kualiti, bukan isu perpecahan masyarakat.
"Terdapat sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang muridnya hampir keseluruhannya bukan berbangsa Cina, sekali gus membuktikan pilihan ibu bapa bukan tentang isu perkauman.
"Kadang-kadang ibu bapa ini tidak fikir pun isu yang ditularkan (perkauman), fokus mereka ialah apa yang terbaik untuk pendidikan anak-anak,” katanya dalam program Wacana Sinar Edisi 481 bertajuk 'Kerana Malaysia milik kita bersama' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian, pada Selasa.

Turut dijemput sebagai panelis ialah Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Ab Muis dan Pensyarah Kanan Universiti Antarabangsa INTI, Dr Sharmin Kutty Sivaraman manakala Ismail Adnan sebagai hos program.
Menurut Zee How, kajian dan pemerhatian yang dijalankannya mendapati masyarakat Cina kini lebih mengutamakan sekolah antarabangsa, swasta serta sekolah berprestasi tinggi.
“Kalau Malay College Kuala Kangsar dibuka kepada bukan Melayu, saya percaya barisan pendaftaran akan panjang kerana kualiti menjadi keutamaan semua kaum,” ujarnya.
Katanya, isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan awam agar dilihat setaraf dengan pilihan lain yang ada.
“Ini bukan soal kaum atau jenis sekolah. Ramai ibu bapa membuat keputusan semata-mata kerana kualiti dan prestasi, bukannya sentimen," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan peningkatan kualiti pendidikan secara menyeluruh akan mengembalikan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan negara.
“Apabila mutu pendidikan ditambah baik, ibu bapa tanpa mengira latar belakang akan menghantar anak-anak mereka kerana percaya ia mampu menjamin masa depan yang lebih cerah,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
