Ziarah Kasih Simpan SSPN santuni pelajar asnaf berjaya ke IPG

Norliza (dua dari kanan) menyantuni penerima sumbangan dan ibunya semasa Program Ziarah Kasih Simpan SSPN di Taman Gasing, Jejawi, Perlis baru-baru ini.
Norliza (dua dari kanan) menyantuni penerima sumbangan dan ibunya semasa Program Ziarah Kasih Simpan SSPN di Taman Gasing, Jejawi, Perlis baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa prihatin melaksanakan pelbagai inisiatif terbaik demi menjaga kebajikan pelajar termasuk penganjuran Ziarah Kasih Simpan SSPN.

Program berkonsepkan ziarah dan ramah mesra itu memberi ruang dan peluang buat PTPTN untuk terus menyantuni serta menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan.

Salah seorang pelajar asnaf yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan, Ahmad Fadli Baharudin antara penerima bantuan program berkenaan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat membantu Ahmad Fadli dalam meneruskan pengajian menerusi Program Ziarah Kasih Simpan SSPN.

“Ini membuktikan komitmen kami dalam menyokong pelajar yang berpotensi dan berbakat untuk terus maju dalam kehidupan.

“Bukan sahaja berpeluang menyantuni keluarga kurang berkemampuan, PTPTN turut membawa keceriaan kepada keluarga,” katanya yang hadir menyampaikan sumbangan tersebut di Taman Gasing, Jejawi, Perlis.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan pengurusan PTPTN.

Tambah beliau, PTPTN juga berharap agar masyarakat lebih prihatin terhadap keperluan komuniti sekeliling dan pada masa yang sama, mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak.

“Usaha ini penting supaya lebih ramai keluarga dapat dibantu untuk menikmati akses pendidikan dan peluang yang lebih baik, di samping memberi dorongan kepada pelajar agar terus tekun menimba ilmu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Program tersebut merupakan salah satu galakan motivasi, pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan diri serta keluarga penerima bantuan.

Untuk rekod, Ahmad Fadli berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dengan situasi ibu yang sedang terlantar sakit dan tidak mampu untuk bekerja manakala bapanya telah meninggal dunia.

Meskipun begitu, semangat dan dedikasi beliau untuk berjaya dalam hidup tidak pernah pudar apabila berjaya meraih keputusan cemerlang 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Melihat kepada keperluan bantuan yang diperlukan oleh keluarga tersebut, PTPTN menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM2,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada Ahmad Fadli bagi membantu meringankan beban pelajar itu untuk menampung kos pengajian kelak.

Selain itu, Kit Kasih PTPTN berupa sumbangan keperluan harian turut disampaikan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk terus fokus kepada pelajaran demi mencapai cita-cita yang diimpikan.

Penabungan melalui Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat kepada masyarakat negara ini seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun.

Keistimewaan lain termasuk perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!