Zii Jia minta bersabar

Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui prestasinya masih jauh daripada tahap sebenar selepas mengharungi lima bulan yang mencabar akibat kecederaan.

Zii Jia gagal melepasi pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Perancis pada Isnin setelah tewas straight set di tangan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin.

Namun di sebalik keputusan tersebut pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu tetap berasa lega apabila berjaya menamatkan perlawanan tanpa sebarang kecederaan, satu petanda positif dalam misinya untuk kembali ke puncak.

“Saya gembira kerana dapat menghabiskan perlawanan pertama tanpa sebarang kesakitan atau kecederaan. Itu yang paling penting bagi saya,” katanya.

Dalam aksi di Adidas Arena, Paris itu, Zii Jia tumpas 21-17, 21-11 dalam masa 41 minit permainan.

Secara realistik, Zii Jia turut menilai prestasinya masih berada pada tahap sederhana.

“Lima daripada 10. Penilaian ini berdasarkan aspek fizikal dan daya tahan.

“Rentak perlawanan masih baik kerana saya sudah mempunyai pengalaman dalam kejohanan. Selagi bertanding, saya tidak begitu risau mengenainya,” ujarnya.

Beliau turut menghargai sokongan padu daripada para peminat sambil memohon agar semua pihak terus bersabar dalam menantikan kepulangan prestasinya yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap mereka bersabar. Malah saya yakin boleh kembali ke tahap prestasi yang sebelum ini,” katanya.

Sebagai rekod, pemain yang berasal di Alor Setar, Kedah itu mempunyai perlindungan ranking di kedudukan kesembilan, kini berada di tangga ke-52 dunia.

Zii Jia tidak beraksi sejak Mac lalu kerana kecederaan buku lali yang dialami sejak Jelajah Dunia Akhir Disember lepas.

Kali terakhir pemain berusia 27 tahun itu beraksi ketika Master Orleans dan Seluruh England pada Mac, namun dia dihantui kecederaan yang memaksanya menarik diri daripada beberapa kejohanan iaitu Terbuka Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Bagaimanapun disebabkan Zii Jia mendapat perlindungan ranking, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menawarkan dia slot ke Paris.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!