Dua lelaki ditahan disyaki muat naik ciapan hasutan, ugutan di aplikasi X

M Kumar
M Kumar
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan kerana disyaki memuat naik ciapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah di aplikasi X.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ciapan pertama dikesan pada 24 Ogos lalu melalui akaun X yang mendakwa negara bakal diambil alih ekstremis dan akan berlaku revolusi.

“Ciapan kedua pula dimuat naik melalui akaun X lain mengenai komen berhubung serangan Israel ke atas kediaman Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kumar berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 JSJ Bukit Aman menjalankan siasatan sebaik laporan diterima.

“Suspek pertama berusia 37 tahun direman dua hari bermula Isnin hingga Selasa, manakala suspek kedua berusia 43 tahun direman empat hari bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes kedua pula disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Kumar menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan berbaur hasutan, ugutan atau yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!