SKMM diminta bantu kesan individu muat naik video murid kejar kereta ibu

Laporan Sinar Harian pada 23 Ogos lalu. Gambar kecil: Muhamad Farid
Laporan Sinar Harian pada 23 Ogos lalu. Gambar kecil: Muhamad Farid
A
A
A

SERDANG - Polis meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membantu mengesan individu yang memuat naik video memaparkan seorang murid berlari mengejar kereta dipandu ibunya selepas tertinggal di hadapan sebuah sekolah di Seri Kembangan, di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, permohonan laporan pemprofilan pemilik akaun Facebook telah dipohon dan masih dalam tindakan SKMM.

"Setakat ini, dua orang telah hadir memberi keterangan berkaitan video berkenaan. Kertas siasatan masih dalam peringkat siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan polis telah merakam keterangan pasangan suami isteri yang merupakan ibu bapa kepada murid terbabit selepas laporan berkaitan video berkenaan dibuat.

Muhamad Farid dilaporkan berkata, semakan mendapati anak pasangan itu berada dalam keadaan baik.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik kandungan di media sosial tanpa maklumat sahih.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita membuat laporan polis berkaitan klip video tular yang memaparkan dirinya serta anaknya.

Wanita terbabit difahamkan membuat laporan berikutan menerima pelbagai komen negatif susulan penularan klip video berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!