[VIDEO] Kenderaan roda tiga tanpa VTA dilarang atas jalan raya - Anthony Loke
KUALA LUMPUR - Kenderaan roda tiga yang diubah suai dan gagal memperoleh Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) tidak dibenarkan digunakan di jalan raya di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, ketetapan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk aspek keselamatan sekiranya kenderaan terbabit membawa penumpang.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pengangkutan (MoT) sentiasa terbuka untuk membantu mana-mana pihak termasuk petani dan pekebun kecil yang berhasrat menggunakan kenderaan jenis tersebut bagi tujuan pengangkutan hasil pertanian atau kegunaan lain.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga bersedia memberi penerangan dan bantuan teknikal berkaitan proses kelulusan VTA bagi model motosikal baharu yang ingin digunakan atau diubah suai.
“Kita sentiasa mahu memudah cara dan tiada masalah untuk menyelaras dengan kementerian atau agensi lain bagi tujuan kegunaan tertentu.
“Namun, perlu mematuhi syarat dan peraturan demi keselamatan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai kesediaan MoT menyelaras penggunaan kenderaan roda tiga dengan kementerian lain.
Dalam pada itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban mengakui bahawa kenderaan roda tiga yang diubah suai turut digunakan dalam sektor pelancongan, seperti Tuk Tuk yang digunakan di Thailand, walaupun penggunaannya tidak pernah diluluskan sebelum ini.
Menurutnya, sebarang risiko susulan penggunaan kenderaan yang gagal memperoleh VTA perlu ditanggung oleh individu terbabit memandangkan ia tidak mematuhi undang-undang, selain menghalang pemilik daripada dilindungi insurans, membayar cukai jalan dan sebagainya.
“Sekiranya ada keperluan khusus untuk kawasan pelancongan, berbincanglah, dapatkan VTA dan kelulusan supaya kita boleh benarkan, sebab saya tahu ada kawasan tertentu yang mungkin tidak sesuai untuk kenderaan lain.
“Kita harap pihak yang mahu menggunakan kenderaan ini berbincang supaya dapat dibantu, sekali gus menjamin aspek keselamatan.
“Saya tidak mahu jika kita benarkan penggunaannya dan berlaku kemalangan, kerajaan pula dipersalahkan kerana membenarkan penggunaan kenderaan ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
