PM hadiri Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim tiba di Dataran Merdeka kira-kira 9.05 malam tadi bagi menghadiri Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza.
Beliau dijangka menyampaikan amanat dan seterusnya melancarkan delegasi aktivis membawa bantuan ke Gaza melalui misi flotilla.
Perdana Menteri hadir diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Orang ramai mula membanjiri Dataran Merdeka sejak jam 6 petang bagi menghadiri Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang berlangsung malam ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pengunjung hadir secara berkumpulan bersama rakan dan keluarga, dengan ramai mengenakan pakaian serba putih sebagai simbol solidariti kepada rakyat Palestin.
Acara anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu bermula jam 7 malam hingga 11.45 malam, dengan penganjur menyasarkan lebih 100,000 peserta.
Program turut diisi dengan solat hajat perdana, bacaan Qunut Nazilah serta tausiyah Peduli Ummah oleh tokoh agama termasuk Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Selain itu, kumpulan Az Zahir akan mengalunkan qasidah dan selawat bagi menghidupkan suasana malam penuh syahdu itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan Pengarah Malam Himpunan, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim turut hadir.
Acara berkenaan merupakan kemuncak kepada Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung sejak 22 Ogos lalu, menampilkan tarikan seperti VR Gaza Time Tunnel, tayangan filem Palestin, pameran agensi, Kids World Hall dan pertunjukan belon panas.
Penganjur turut menyediakan kemudahan surau di sekitar kawasan acara dan menasihatkan pengunjung membawa sejadah, tikar serta menggunakan pengangkutan awam bagi kelancaran pergerakan.
Malam ini dijangka menjadi detik bersejarah apabila solidariti rakyat Malaysia diterjemahkan bukan sahaja dengan doa dan selawat, tetapi juga pelepasan delegasi aktivis membawa bantuan ke Gaza melalui misi flotilla.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

