Cubaan wanita India keluar negara guna pas khas palsu gagal

AKPS mengesahkan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan cubaan menggunakan dokumen palsu.
AKPS mengesahkan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan cubaan menggunakan dokumen palsu.
A
A
A

SEPANG – Tindakan licik seorang wanita warga India menggunakan pas khas palsu untuk keluar dari negara gagal apabila dia ditahan di Balai Perlepasan, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan, wanita berusia 45 tahun itu dikesan ketika pemeriksaan dilakukan oleh pegawai bertugas.

“Pemeriksaan mendapati dokumen yang dikemukakan tidak munasabah.

“Hasil semakan lanjut mengesahkan pas khas berkenaan adalah palsu sebelum tindakan wanita itu digagalkan pegawai AKPS bertugas,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki menggunakan dokumen palsu.

“Wanita berkenaan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut.

“AKPS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana cubaan menggunakan dokumen palsu,” katanya.

Agensi itu turut menegaskan bahawa sebarang cubaan menggunakan dokumen palsu akan dikenakan tindakan undang-undang paling tegas.

“AKPS kekal komited memastikan integriti sempadan negara tidak digugat serta keselamatan pintu masuk Malaysia sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!