Spurs cabaran sebenar City

MANCHESTER CITY dijangka berdepan cabaran sebenar apabila melayan kunjungan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, malam ini.
Kedua-dua pasukan turun dengan keyakinan tinggi selepas meraih kemenangan bergaya dalam perlawanan pembukaan musim 2025/2026.
City membuka tirai dengan membelasah Wolverhampton Wanderers 4-0, manakala Spurs memulakan era baharu di bawah Thomas Frank dengan kemenangan 3-0 ke atas Burnley.
Menurut penganalisis Esteemed Kompany, Steven McInerney, kejayaan City di Molineux cukup meyakinkan, namun Spurs tetap lawan yang sukar.
“Spurs kini lebih agresif dan tersusun. Thomas Frank jurulatih hebat, jadi ini memang cabaran sebenar.
“Mujur City bermain di laman sendiri kerana kalau bertandang ke Spurs lebih awal musim ini, saya tidak begitu yakin,” katanya kepada Sports Mole.
Rekod pertemuan kedua-dua pasukan juga seimbang yang menyaksikan daripada 18 pertemuan terakhir, City menang lapan kali, tewas lapan kali dan seri dua kali.
Malah, kali terakhir mereka bertemu di Etihad tahun lalu, Spurs di bawah Ange Postecoglou mengejutkan City, 4-0.
Walaupun kehilangan James Maddison akibat kecederaan, McInerney menegaskan Spurs masih memiliki banyak pilihan.
Gandingan Cristian Romero–Micky van de Ven di benteng, kreativiti Djed Spence–Pedro Porro di bek sisi dan ketajaman Brennan Johnson, Mohammed Kudus serta Richarlison dianggap mampu menggugat mana-mana pasukan.
Bagaimanapun, beliau tetap optimis kualiti City di laman sendiri mampu membezakan keputusan perlawanan.
“Saya jangka City menang 3-1. Mungkin kita akan bolos dahulu tapi kualiti pemain akan bawa kemenangan,” ujarnya.
McInerney turut meramal Pep Guardiola mengekalkan barisan utama ketika menewaskan Wolves dengan Tijjani Reijnders, Bernardo Silva dan Nico Gonzalez di tengah.
Namun, Matheus Nunes dijangka masuk menggantikan Rico Lewis di bek kanan untuk menambah kekuatan fizikal menghadapi corak agresif Spurs.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

