Kompaun AMLA bukan lesen bebas rasuah – MCW

SHAH ALAM – Pembayaran kompaun di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) tidak boleh disalah tafsir sebagai tiket untuk melepaskan diri daripada kesalahan rasuah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, orang ramai tidak wajar keliru kerana mekanisme kompaun itu hanya khusus bagi pertuduhan di bawah AMLA.
Beliau menjelaskan, kompaun yang dikenakan langsung tidak terpakai untuk kesalahan rasuah yang kekal sebagai jenayah berat serta wajib diadili di mahkamah.
“Kompaun adalah mekanisme undang-undang di bawah Seksyen 92 AMLA. Ia memberi pilihan kepada Orang Kena Tuduh (OKT) untuk menyelesaikan pertuduhan AMLA dengan pembayaran sejumlah wang tertentu.
“Ia bukan sabitan, bukan pengakuan bersalah. Pembayaran kompaun juga tidak bermakna pesalah rasuah dilepaskan atau diampunkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, pembayaran kompaun menyebabkan pertuduhan AMLA tidak boleh lagi diteruskan, namun ia tidak sekali-kali menghalalkan kesalahan rasuah.
“Masyarakat perlu diyakinkan bahawa sistem perundangan negara kekal tegas dan tidak sesekali menggadaikan prinsip integriti.
“Persepsi bahawa rasuah boleh ‘dibayar’ untuk bebas mesti dielakkan. Pihak berkuasa perlu tampil memberi penjelasan yang telus agar rakyat tidak salah faham mengenai mekanisme kompaun AMLA ini,” katanya.
Tambahnya, walaupun undang-undang memberi ruang kepada OKT untuk menyelesaikan pertuduhan AMLA melalui kompaun, ia bukan jalan pintas untuk mana-mana individu melepaskan diri daripada kesalahan jenayah lain.
“MCW percaya penegakan undang-undang yang adil serta komunikasi jelas kepada rakyat adalah asas penting dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

