Persatuan Veteran ATM perlu bersifat berkecuali

PVATM
PVATM
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) perlu peka dengan situasi semasa dan bersifat berkecuali seperti badan bukan kerajaan (NGO) yang lain, kata Ketua Pertubuhan Bukan Kerajaan Antarabangsa, Komander (B) Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican.

Beliau, yang juga anggota PVATM Cawangan Putrajaya, berkata pesara tentera juga harus bijaksana dalam menggunakan media sosial seperti aplikasi WhatsApp dan tidak menjadikannya sebagai medan fitnah atau untuk menjatuhkan seseorang.

"Sebarang maklumat yang diterima dari luar harus disiasat dahulu kebenarannya," katanya semasa berucap pada mesyuarat agung kali pertama PVATM Cawangan Putrajaya, di sini semalam.

Mustapha turut menekankan kepentingan perpaduan, keharmonian dan kerjasama sesama bekas tentera tanpa mengira kedudukan, pangkat, usia mahupun perkhidmatan Tentera Darat, Laut atau Udara.

PVATM Cawangan Putrajaya adalah cawangan ke-10 di bawah PVATM Wilayah Persekutuan yang turut dianggotai oleh pesara tentera yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam yang lain.

Pada mesyuarat yang dirasmikan oleh Yang Dipertua PVATM Wilayah Persatuan, Brig Jen (B) Datuk Pahlawan Shamsuddin Abass itu, Mahadi Chan Abdullah dipilih sebagai Ketua PVATM Cawangan Putrajaya yang baharu bagi tempoh sehingga 2021.- Bernama

Artikel Berkaitan: